mk-logo
Berita
Iran boikot utusan AS, Trump timbang lancar perang habis-habisan
Diterbitkan:  Jul 1, 2026 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Iran pada Selasa menyatakan ia tidak akan bertemu dengan utusan tertinggi Amerika Syarikat (AS) yang terbang ke rantau itu susulan tercetusnya permusuhan, sekali gus menjejaskan peluang untuk mencapai keamanan kekal antara kedua-dua negara, lapor Reuters.

Pegawai Iran berkata kedua-dua pihak masih perlu menyelesaikan syarat-syarat gencatan senjata yang ditandatangani dua minggu lalu sebelum mereka boleh menangani topik yang lebih sukar, seperti kemungkinan sekatan terhadap program nuklearnya.

Perkembangan itu menunjukkan kedua-dua pihak masih jauh berbeza pandangan mengenai tonggak utama rangka kerja awal, yang menuntut Iran menarik balik sekatan di Selat Hormuz sebagai balasan kepada insentif kewangan, serta menetapkan 60 hari rundingan untuk merangka perjanjian damai berkekalan.

Menantu Presiden AS Donald Trump, Jared Kushner dan utusan Steve Witkoff tiba di Doha untuk apa yang disifatkan oleh Rumah Putih sebagai rundingan "peringkat tinggi". Bagaimanapun Iran dan tuan rumah Qatar memaklumkan mereka hanya akan bertemu dengan pihak pengantara dan bukannya wakil Iran secara langsung.

Qatar menyatakan Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani adalah antara individu yang bertemu dengan Witkoff dan Kushner.

"Tiada pertemuan di mana-mana peringkat dengan pihak AS dijadualkan bagi hari-hari mendatang," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei.

Kedua-dua negara dijadualkan memulakan rundingan teknikal peringkat lebih rendah, menurut Majed al-Ansari, jurucakap kementerian luar Qatar.

Lancar semula serangan

Dalam usaha memecahkan kebuntuan, Trump dilapor mempertimbangkan kemungkinan melancarkan semula serangan ketenteraan berskala besar selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine, mengenai kemungkinan melaksanakan lebih banyak serangan.

Sementara itu, Wall Street Journal yang memetik sumber AS yang biasa dengan perbincangan itu melaporkan Trump ketika mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Pengarah Bersama Jeneral Dan Caine sedang mempertimbangkan untuk kembali kepada perang habis-habisan. Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu dengan segera.

Namun buat masa ini Trump, yang secara terbuka mengancam Iran dengan lebih banyak serangan, memutuskan untuk memberikan lebih masa kepada usaha diplomatik, menurut laporan itu.

Sementara itu, aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz yang mengendalikan satu perlima daripada minyak global dan gas asli cecair sebelum perang tercetus pada 28 Februari mula kembali beroperasi.

Bagaimanapun, pegawai Iran berkata mereka mempunyai hak untuk menguruskan laluan trafik bersama sekutu AS, Oman, yang terletak di seberang laluan air strategik itu, dan akan mengenakan tol pada pertengahan Ogos apabila tempoh 60 hari itu tamat.

Tiada bayaran tol

"Kedaulatan Selat Hormuz terletak di tangan Iran dan Oman dan pergerakan kapal di selat itu tertakluk kepada aturan yang ditetapkan Iran," kata perunding utama Iran, Mohammed Baqer Qalibaf, menerusi saluran televisyen rami kerajaan.

Naib Presiden AS JD Vance bagaimanapun menegaskan bahawa Iran tidak dibenarkan mengenakan bayaran tol ke atas laluan perairan antarabangsa itu.

Vance dalam wawancara bersama The Michael Knowles Show yang disiarkan pada Selasa, berkata, Iran akan dihalang daripada mengenakan tol melalui laluan air antarabangsa itu

"Ini tidak akan berakhir dengan keadaan di mana pihak Iran mengutip tol ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz."

JD Vance

Vance juga berkata dalam temu bual yang dirakamkan pada Isnin tetapi disiarkan pada Selasa bahawa aliran minyak melalui Selat Hormuz telah kembali ke paras sebelum perang, malah melebihi jumlah itu pada beberapa hari, tanpa memetik sebarang angka.

Akibat ketidakpastian itu, harga minyak telah jatuh sejak hujung minggu, apabila AS mengebom kemudahan tentera Iran sebagai tindak balas terhadap serangan dron ke atas kapal komersial dan Iran menyerang tapak tentera AS di Kuwait dan Bahrain.

Bagaimanapun, ekonomi yang rapuh boleh kekal berisiko daripada kenaikan harga makanan dan bahan api walaupun selepas pasaran tenaga beransur pulih, kata agensi perdagangan dan pembangunan PBB pada Selasa.

Inflasi global

Konflik itu turut menyumbang kepada peningkatan inflasi global serta memberi tekanan politik kepada Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres AS pada November depan.

Trump dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, kini menggesa peruncit petrol menurunkan harga bahan api.

Perjanjian sementara antara AS dan Iran turut merangkumi usaha menamatkan konflik antara Israel dengan kumpulan bersenjata Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan.

Namun, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, yang juga sekutu Hizbullah, meragui rangka kerja berasingan yang ditaja AS antara Lubnan dan Israel bagi menamatkan perang itu.

Penganalisis berpandangan perjanjian itu berisiko mengekalkan kebuntuan kerana mengaitkan pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan dengan proses pelucutan senjata Hizbullah


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS