Dua pemimpin pembangkang Selangor menggesa kerajaan tidak berselindung di sebalik penjelasan teknikal berhubung keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berkaitan projek pembangunan ladang ternakan babi di negeri terbabit.

Sebaliknya, pemimpin pembangkang menggesa Selangor mengambil tindakan menyelesaikan isu pencemaran serta melaksanakan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan aktiviti penternakan babi diteruskan di negeri itu.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata penjelasan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Syed Ibrahim Syed Noh bahawa ladang babi sedia ada tidak tertakluk kepada Perintah EIA 2015 gagal menjawab persoalan pokok yang dibangkitkan rakyat.

"Persoalan sebenar ialah mengapa isu yang telah berlarutan bertahun-tahun, dengan pelbagai aduan mengenai pencemaran sungai, bau yang menjejaskan kehidupan penduduk serta kebimbangan terhadap sumber air, masih gagal diselesaikan secara tuntas.

"Sekiranya aduan telah dikemukakan berulang kali, kerajaan sepatutnya memfokuskan kepada tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian, bukannya sekadar menjelaskan bahawa operasi tersebut tidak tertakluk kepada EIA kerana telah wujud sebelum tahun 2015," katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Kelmarin, Syed Ibrahim menjelaskan hanya ladang babi baru yang mempunyai sekurang-kurangnya 2,000 ekor babi diwajibkan menjalani EIA mandatori, manakala ladang sedia ada seperti di Tanjung Sepat dikecualikan kerana telah beroperasi sebelum Perintah EIA 2015 berkuat kuasa.

Mengulas lanjut, Sukri berkata pengecualian daripada EIA bukan bermaksud pengusaha ladang dikecualikan daripada tanggungjawab mematuhi undang-undang alam sekitar.

Dia menggesa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar serta Jabatan Alam Sekitar menggunakan kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana operasi yang mencemarkan sungai, mengancam sumber air atau menjejaskan kesejahteraan penduduk.

Katanya, kerajaan persekutuan juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab dengan alasan pelesenan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri kerana agensi persekutuan masih mempunyai kuasa penguatkuasaan terhadap kes pencemaran.

Sementara itu, Adun Permatang Nurul Syazwani Noh berkata penjelasan kerajaan telah mengalih perhatian daripada isu sebenar kerana pencemaran yang ditanggung rakyat berlaku pada masa kini, tanpa mengira sama ada sesuatu ladang dibuka sebelum atau selepas Perintah EIA 2015.

“Isu ini bukan soal sama ada ladang itu baru atau lama. Sekiranya sesuatu ladang telah beroperasi bertahun-tahun tetapi masih menyebabkan pencemaran sungai, pencemaran udara, bau busuk, pelepasan efluen atau mengganggu kesejahteraan penduduk, hakikat bahawa ia dibuka sebelum Perintah EIA berkuat kuasa tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan impaknya terhadap rakyat.

"Undang-undang mungkin tidak berkuat kuasa secara retrospektif, tetapi pencemaran yang ditanggung oleh rakyat berlaku pada hari ini, bukannya pada masa lalu," katanya.

Justeru, Nurul Syazwani berpandangan bahawa semua ladang yang berisiko tinggi, sama ada lama atau baru, wajar dikenakan audit alam sekitar berkala dan pemantauan yang lebih ketat.

Dia turut mempersoalkan ambang 2,000 ekor babi sebagai syarat EIA mandatori dengan berhujah beberapa ladang bersaiz lebih kecil dalam kawasan sama boleh menghasilkan kesan pencemaran kumulatif yang lebih besar.

Sehubungan itu, Nurul Syazwani menggesa kerajaan mengkaji semula pendekatan sedia ada supaya penilaian alam sekitar mengambil kira kesan kumulatif, termasuk jumlah keseluruhan ladang dalam sesuatu kawasan, jaraknya dengan penempatan penduduk dan risiko sebenar terhadap alam sekitar.

Pemimpin Bersatu itu turut menegaskan bahawa walaupun sesuatu ladang tidak diwajibkan menyediakan EIA, tindakan undang-undang masih boleh diambil jika berlaku pencemaran sungai, pencemaran udara, pelepasan efluen, gangguan bau atau pelanggaran syarat lesen.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini mengarahkan semua ladang babi di Tanjong Sepat dikosongkan dan ditutup sepenuhnya menjelang akhir bulan Jun sebelum fasa penguatkuasaan dilaksanakan mulai 1 Julai ini.

Ia susulan pendirian Sultan Selangor sebelum ini yang tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.