mk-logo
Berita
Dikata 'tak cerdik' - Onn Hafiz sanggah Anwar isu JS-SEZ
Diterbitkan:  Jul 4, 2026 12:18 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Menteri besar sementara Johor Onn Hafiz Ghazi menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat kenyataan mengelirukan berhubung pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan mendakwa kenyataan perdana menteri itu tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Pengerusi BN Johor itu berkata pelan induk JS-SEZ merupakan dokumen milik kerajaan Malaysia dan tidak memerlukan kelulusan kerajaan Singapura, sebaliknya hanya melalui proses libat urus serta maklum balas daripada republik itu yang menurutnya telahpun selesai.

“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Sebab itu saya berpandangan, apabila perdana menteri menyatakan seolah-olah pelan induk ini masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders' Retreat, dan seterusnya memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua belah pihak, kenyataan itu tidak tepat dan mengelirukan," katanya pada kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Anwar mengkritik Onn Hafiz kerana menggunakan JS-SEZ sebagai bahan kempen ketika pilihan raya Johor yang sedang berlangsung, dengan menyifatkan perkara itu berada di luar bidang kuasa ahli politik negeri berkenaan.

Katanya, projek berkenaan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang sedang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Soal nak turunkan tanda tangan itu, ia antara Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura. Ia belum (sampai ke tahap) Menteri Besar lagi.

"Jadi tak payah jadikan isu, sehingga kini projek sedang berjalan dengan belanja yang tinggi serta turut menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat.

Gambar fail, Anwar dan Onn Hafiz.

"Sudahlah tak berterima kasih, dia (gunakan isu) masa kempen untuk mencela, ini tidak kena dan tak cerdik," kata perdana menteri seperti dipetik media tempatan semalam.

Sebagai respons, Onn Hafiz berkata dia mungkin tidak dianggap 'cerdik' pada pandangan Anwar, namun mempersoalkan sama ada perdana menteri cukup teliti sebelum membuat kenyataan awam.

"Ya, saya sedar saya bukan bertaraf perdana menteri.

"Namun, dengan penuh hormat saya berpandangan, apabila seseorang berada di kedudukan sebagai pemimpin nombor satu negara, setiap kenyataan yang dibuat mesti berasaskan fakta yang tepat," katanya.

Gambar fail, Anwar bersama Onn Hafiz ketika BN-PH kerjasama pada PRK Kulai 2023.

Dia menegaskan isu itu dibangkitkan bukan untuk mengkritik kerajaan persekutuan, tetapi bagi menjaga kepentingan Johor dan mengekalkan keyakinan pelabur.

"Pada pandangan perdana menteri, saya mungkin tidak cerdik tetapi lebih merisaukan jika perdana menteri dilihat tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan yang tidak tepat.

"Ia memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia dan bangsa Johor tetapi juga kepada pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ ini," katanya.

Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan pengumuman JS-SEZ bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri terus diperkukuh.

Pada awalnya, Onn Hafiz mempersoalkan penangguhan pengumuman pelancaran pelan induk JS-SEZ, yang menurutnya sudah ditangguhkan sebanyak dua kali.

Dia menggesa perkara itu tidak ditangguhkan lagi, dengan merujuk kepentingan projek tersebut kepada Johor.

Pertikaian itu berlaku ketika kempen pilihan raya Johor, yang menyaksikan PH dan BN bertembung bagi merebut 56 kerusi DUN.

Pada 7 Jan 2025, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian bagi membentuk JS-SEZ, sebuah projek pembangunan mega untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Menurut laman web JS-SEZ, projek itu bertujuan menggabungkan ketersediaan tanah Johor yang lebih luas dengan perkhidmatan kewangan dan infrastruktur Singapura bagi membentuk ekosistem perniagaan yang bersepadu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS