mk-logo
Berita
PAS arah undi BN tak akan ubah status kerjasama Umno - Zahid

PRN JOHOR | Meski menghargai sokongan PAS terhadap calon BN, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi nampaknya bertegas Umno tidak akan bekerjasama dengan parti itu.

Presiden Umno itu menafikan wujudnya sebarang ‘pakatan sulit’ antara BN dengan PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini, susulan tindakan kepimpinan PAS mengarahkan ahli dan penyokong parti mereka mengundi calon-calon BN termasuk calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC.

“BN amat menghargai sokongan terbuka berkenaan, ia tidak mengubah status atau mewujudkan bentuk kerjasama baru antara Umno dan PAS yang bertanding secara berasingan dalam pilihan raya kali ini.

"Itu sokongan daripada kepimpinan PAS. Kita menghargai sokongan itu.

"Dan kita tidak merasakan bahawa sokongan itu akan mempengaruhi pakatan atau kerjasama yang akan atau telah dibuat oleh Umno khususnya dengan PAS," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tangkak, Johor hari ini.

Terdahulu, Zahid turun membantu kempen calon BN di DUN Tangkak dari MCA, Haw Chin Teck, yang akan berdepan calon DAP Ee Chin Li.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, BN menghormati pendirian mutakhir PAS namun mahu melihat sama ada arahan tersebut benar-benar diterjemahkan di atas kertas undi.

"Kita menghormati pendirian mereka. Dan kita harap sokongan itu benar-benar menjadi kenyataan.

"Dan kita lihat di dalam kertas-kertas undi yang akan dibuka pada 11 Julai nanti," tambahnya.

PAS sebelum ini membuat kenyataan secara terbuka mengarahkan jentera dan penyokongnya menyokong calon BN memandangkan BN memilih untuk bergerak solo di kesemua 56 kerusi DUN selepas menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Langkah berkenaan turut mencetuskan reaksi daripada Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menyatakan PH sama sekali tidak gentar dengan strategi "arahan undi" PAS itu.

Pada PRN Johor kali ini, BN mempertaruhkan 37 calon Umno manakala 19 kerusi lagi diwakili oleh calon bukan Melayu iaitu 15 daripada MCA dan 4 daripada MIC.

‘Peralihan sokongan pengundi Cina’

Sementara itu Zahid turut menepis spekulasi pihak lawan yang mendakwa misi memburu kemenangan besar BN dalam PRN ini bertujuan untuk memberi tekanan politik bagi membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak.

"Tidak. Tidak kena-mengena. Itu adalah kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang di-Pertuan Agong. Itu bukan isunya di negeri Johor," katanya.

Mengulas mengenai gerak kerja kempen, Zahid mendakwa kajian dalaman parti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan saluran menunjukkan berlakunya peralihan gelombang sokongan yang ketara daripada masyarakat Cina kepada calon-calon BN.

Dia berkata pengundi Cina kini menyatakan kesediaan untuk mengalihkan sokongan ekoran rasa kecewa terhadap prestasi hambar wakil rakyat terdahulu yang gagal memenuhi harapan mereka.

"Kami amat sukacita kerana gelombang sokongan daripada pengundi-pengundi Cina kepada calon-calon BN itu bertambah.

"Kita memang letakkan calon-calon underdog (bukan pilihan) di kawasan-kawasan yang mempunyai banyak pengundi Cina.

"Tetapi oleh kerana mereka telah melihat bahawa wakil-wakil mereka yang dahulu tidak memperlihatkan prestasi yang baik berbanding dengan harapan yang mereka letakkan.

"Jadi mereka memberitahu saya 'ini kalilah' untuk kepercayaan diberikan kepada calon-calon bukan Umno, maknanya calon MCA dan MIC," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS