mk-logo
Berita
Kamil bidas KJ: Melayu korup, kaki projek yang sebenarnya terancam
Diterbitkan:  Jul 6, 2026 3:50 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas Khairy Jamaluddin kerana mendakwa menteri besar sementara Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, gagal menjaga kepentingan masyarakat Melayu-Islam di negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Kamil Munim mengingatkan Khairy bahawa dengan mengundi Umno bukan jaminan hak Melayu akan kekal selamat. Katanya, bahawa hak tersebut sebaliknya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Raja-raja Melayu.

Dia juga meminta Khairy menyatakan secara khusus hak Melayu mana telah terhakis atau terancam di bawah kepimpinan Aminuddin, dan menyatakan bahawa hak sedemikian biasanya diancam oleh "Melayu yang rasuah," sambil mendakwa Umno adalah antara mereka.

“Hak Melayu yang akan terancam ialah Melayu korup, Melayu kaki projek dan sudah tentu Melayu Umno. Bukan Melayu kebanyakan. Bukan juga Melayu Negeri Sembilan,” katanya.

Kamil membidas Khairy susulan kenyataan bekas menteri itu yang menggesa pengundi Melayu-Islam di Negeri Sembilan untuk kembali menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya negeri kan datang.

Dalam ucapannya di pelancaran mesyuarat Pemuda dan Puteri Umno Seremban semalam, Khairy berkata hanya Umno-BN yang boleh menjaga kepentingan masyarakat itu berbanding Aminuddin.

Bekas anggota parlimen Rembau itu turut menuduh Aminuddin tidak berkuasa dan berada di bawah kawalan DAP, yang memegang kerusi terbanyak dalam kalangan parti PH.

Merujuk kepada komposisi kaum wakil PH dalam Dewan Undangan Negeri, Khairy berkata orang Melayu dan Islam berada dalam keadaan baik dalam kerajaan negeri sebelum ini kerana mempunyai 14 wakil rakyat Umno untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

"Kita bukan soal perkauman, tapi sudah pasti wakil rakyat kaum lain akan perjuang kaum mereka. Itu memang hak dia.

"Tapi kalau empat saja orang Melayu nak perjuangkan isu bangsa kita, mana mungkin suara mereka tidak tenggelam dalam keadaan tersebut.

"Sebab itu nasib baik pilihan raya lepas kita (Umno) terpaksa gabung dengan mereka. Sebab yang bawa suara pertahan orang Melayu di Negeri Sembilan adalah 14 Adun BN," kata Khairy, atau lebih dikenali sebagai KJ, kepada kira-kira 200 perwakilan.

Bagaimanapun, Kamil melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Khairy yang disifatkannya sebagai pemimpin yang regresif.

“Saya jangkakan penyertaan semula saudara Khairy akan membawa politik progresif iaitu menilai pimpinan dengan prestasi dan rekod semasa pentadbiran. Malangnya saudara memilih untuk terus membawa politik regresif yang bermain dengan sentimen kaum dan agama yang sempit bagi tujuan menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu.

“Bukan saja hak orang Melayu akan terancam, tapi maruah negara secara keseluruhannya juga akan tercemar jika pemimpinnya korup, tidak amanah dan kaki rembat.

“Contohnya kes 1MDB. Siapa nak pertahan silakan,” kata Kamil yang juga ketua Pemuda PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS