mk-logo
Berita

PRN JOHOR l Ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-16 memasuki minggu terakhir hari ini, lima calon Pakatan Harapan (PH) di kawasan Greater Johor Bahru memfokuskan kepada isu tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Pada satu sidang media hari ini, calon-calon berkenaan iaitu Lee Wern Ying (Johor Jaya), Alan Tee (Perling), Andrew Chen (Stulang), Kartiyaini Jeyapalan (Skudai), dan Nor Zulaila Abdul Ghani (Tiram) masing-masing mengetengahkan masalah yang dihadapi dan berikrar akan menaganinya jika dipilih pada pilihan raya 11 Julai ini.

"Kami ada penyelesaian untuk penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas, isu rentas sempadan, dan tebatan banjir.

"Semua ini perkara yang menjadi keutamaan kami. Kami akan terus membangkitkan isu ini dalam DUN Johor," kata Chen, satu-satunya penyandang daripada PH dalam senarai itu yang akan mempertahankan Stulang dalam persaingan empat penjuru menentang BN, Bersama, dan calon bebas.

Sidang media mereka hari ini menyusul selepas siri jelajah kempen dua hari perdana menteri yang juga pengerusi PH, Anwar Ibrahim di seluruh Johor, dengan ucapan dan janji yang mencetuskan perdebatan mengenai isu nasional serta sumbangan persekutuan kepada negeri itu.

Semalam, calon Muda bagi Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied mendakwa manifesto pilihan raya Johor milik PH yang dilancarkan Jumaat lalu tidak menyebut langkah-langkah untuk menangani banjir, perubahan iklim, dan perlindungan alam sekitar.

Memantau Pembangunan

Mengulas lanjut mengenai janjinya untuk Perling, Tee berikrar untuk memantau dengan lebih rapi pembangunan dan penyelenggaraan sistem saliran di Johor Bahru, dengan berhujah bahawa banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan Greater Johor Bahru bukan sesuatu yang tidak boleh dielakkan sama sekali.

Sambil mengakui bahawa perubahan iklim mungkin menyumbang kepada kejadian banjir yang lebih kerap, Tee berkata perancangan dan penyelenggaraan yang lemah turut memainkan peranan.

Alan Tee

“Isu banjir, kita tahu banjir sekarang lebih kerap berlaku dari tahun ke tahun di kawasan Greater JB. Tak dinafikan mungkin ada perubahan iklim dan pemanasan global, tapi pada masa sama tak boleh dinafikan masalah ini boleh dielakkan,” katanya.

Merujuk kepada banjir serius yang melanda Perling pada Mac tahun lalu, Tee berkata lebih 1,000 keluarga terjejas dalam kejadian yang dia percaya boleh dielakkan.

“Sekiranya kami diberikan mandat, kami akan pantau pemaju di Johor Bahru adakah sudah keterlaluan, khususnya di Perling dan Iskandar Puteri.

“[…] Banjir itu cuma sebab sumbat di parit sahaja, jadi adakah kontractor menjalakan tugas mengikut jadual?” soalnya.

Meningkatkan Pengangkutan Awam

Untuk Johor Jaya, Lee berkata PH menyasarkan untuk menambah baik perkhidmatan bas dengan meningkatkan kekerapan perkhidmatan, menyediakan maklumat laluan yang lebih jelas dan memastikan ketepatan masa bagi menjadikan pengangkutan awam lebih dipercayai.

Dia berkata gabungan itu juga akan berusaha meningkatkan ketersambungan antara bas, perkhidmatan kereta api, dan kenderaan persendirian.

Lee Wern Ying

"Kemudahan pejalan kaki juga perlu dipertingkatkan melalui pembinaan laluan yang lebih selamat serta penambahan lintasan pejalan kaki bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.” katanya.

Bagi Skudai, Kartiyaini berkata perhatian yang lebih besar mesti diberikan kepada kebajikan warga emas memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah status negara tua.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah memperluas pusat komuniti dan aktiviti sosial, menambah baik kemudahan awam mesra warga emas, memperkukuh kerjasama dengan institusi perubatan serta agensi kebajikan, dan menyediakan sokongan yang lebih besar kepada keluarga yang menjaga ibu bapa yang tua.

Kartiyaini Jeyapalan

Mengenai kesesakan rentas sempadan, Chen berkata PH akan terus memantau usaha meningkatkan kelancaran trafik di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura melalui penggunaan teknologi dan penyelesaian lain yang bersesuaian.

Dia turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Rentas Sempadan Johor-Singapura di DUN Johor bagi memudahkan perbincangan yang lebih menyeluruh mengenai kesesakan, ekonomi rentas sempadan, dan isu dua hala Johor-Singapura.

Chen seterusnya berkata semua isu yang dibangkitkan akan diperjuangkan secara kolektif oleh calon PH yang bertanding di kawasan Greater Johor Bahru jika mereka diberikan mandat pada PRN kali ini.

Andrew Chen

"Bukan seorang calon hanya menjaga satu isu semata-mata.

“Kami akan bergerak sebagai satu pasukan untuk memantau, membawa cadangan dan melaksanakan penambahbaikan terhadap semua isu ini demi kepentingan rakyat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS