Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump ugut 'selesaikan tugas' guna ketenteraan jika Iran tolak perjanjian
Diterbitkan:  Jul 7, 2026 11:25 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Presiden Donald Trump berkata pada Isnin berkata bahawa Amerika Syarikat (AS) sama ada akan mencapai perjanjian dengan Iran atau "menyelesaikan tugas," sekali gus memperbaharui ancaman tindakan ketenteraannya ketika Tehran memamerkan penentangan susulan majlis pengebumian Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

Reuters melaporkan rundingan tidak langsung antara AS dan Iran berakhir minggu lalu tanpa sebarang tanda kemajuan terbuka ke arah keamanan yang berkekalan, mengetepikan gencatan senjata selama 60 hari yang bertujuan memberi ruang kepada diplomasi berikutan serangan AS dan Israel yang mencetuskan konflik berkenaan.

"Sama ada kita akan buat perjanjian atau kita akan selesaikan tugas ini. OK. Dan ia tidak sukar untuk diselesaikan. Saya lebih suka buat perjanjian, kerana saya tidak mahu menjejaskan 91 juta orang," kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval, di Washington DC.

"Kita boleh meruntuhkan jambatan mereka dalam masa satu jam, kita boleh melumpuhkan bekalan tenaga mereka.... Mereka tidak mempunyai wang sekarang.

"Kita tidak memberikan mereka sebarang wang."

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran Mohammad Baqer Zolqadr menyifatkan ancaman Trump itu sebagai "khayalan."

"Rakyat Iran tidak biasa dengan bahasa ancaman. Oleh itu, bercakaplah dengan rakyat Iran dengan penuh rasa hormat, jika tidak, kami akan membalas dengan bahasa lain," kata Zolqadr dalam kenyataan yang disiarkan oleh media kerajaan.

Trump berkata demikian selepas majlis pengebumian Khamenei pada hujung minggu lalu. Di sebalik jangkaan bahawa Iran akan kelihatan lemah akibat perang yang bermula dengan serangan AS dan Israel pada 28 Februari, rakyat Iran sebaliknya kelihatan terus menentang, bersatu padu dan bertekad untuk mencorakkan masa depan mereka.

Gencatan senjata selama 60 hari itu pada asalnya dirancang oleh Washington untuk menghidupkan semula diplomasi bagi menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS