Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM tegaskan tindakan ke atas media demi sekat isu 3R
Diterbitkan:  Jul 7, 2026 12:02 PM
Dikemaskini: 4:02 AM

PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia tahun ini dipengaruhi pelbagai indikator penilaian antarabangsa, termasuk tindakan terhadap beberapa organisasi media.

Bagaimanapun, dia menegaskan tindakan berkenaan bukan bertujuan mengekang kebebasan media atau perbezaan pandangan politik, sebaliknya tertumpu kepada kandungan yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), selain perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Anwar berkata tindakan terhadap syarikat media seperti Sin Chew Daily berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang serta Sinar Harian berkaitan penyiaran biografi Ketua Polis Negara, turut mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan.

“Umpamanya, tindakan terhadap Sin Chew itu dianggap besar di dunia media, kerana ia dianggap satu pelanggaran dari segi aspek kebebasan. Tetapi dalam soal bendera itu, diselesaikan dengan baik. Soal bendera negara, kita serius. Mungkin bagi negara lain kurang.

“Bila tindakan diambil kepada media rasmi begitu, terus indeks itu,” kata dia pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan asal yang dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai faktor kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 ke tangga 95 berbanding 88 pada tahun lepas, selain langkah komprehensif kerajaan bagi melindungi kebebasan media.

Dia berkata, kerajaan terikat dengan pendirian yang dipersetujui bersama Majlis Raja-Raja, yang sentiasa meneliti laporan berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja serta kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

“Kandungan yang mengandungi fakta tidak tepat atau kritikan politik semata-mata tidak dikenakan tindakan, sebaliknya kerajaan lebih mengutamakan penjelasan kepada umum berbanding penguatkuasaan, termasuk memberi penjelasan di Parlimen.

“Kerajaan menambah baik kerangka perundangan negara, termasuk menerusi pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang antara lain memastikan kenyataan berbentuk sindiran terhadap Perdana Menteri atau pemimpin tidak lagi dikategorikan sebagai kesalahan jenayah,” kata dia.

Anwar berkata penilaian oleh Reporters Without Borders (RSF) mengambil kira beberapa indikator termasuk dari konteks politik, kerangka perundangan, keadaan ekonomi, persekitaran sosiobudaya dan aspek keselamatan.

Perdana Menteri berkata antara cabaran lain yang turut mempengaruhi penilaian indeks tersebut ialah tindakan pemadaman kandungan oleh platform media sosial, yang dibuat berdasarkan aduan pengguna dan bukan semestinya atas arahan kerajaan.

Perkara itu, kata dia, termasuk kandungan miliknya sendiri berkaitan Hamas yang pernah dipadamkan oleh platform media sosial walaupun kerajaan tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Anwar berkata tindakan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga tidak semestinya diterima platform media sosial kerana keputusan akhir bergantung kepada dasar pengendali platform terbabit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS