Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FIFA puji pengadil yang dilabel ‘mencurigakan’ oleh Trump
Diterbitkan:  Jul 7, 2026 6:47 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Ketua Pengadil FIFA Pierluigi Collina memuji pengadil perlawanan yang dilabel "mencurigakan" oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor PA Media/dpa.

Trump mengkritik pengadil dari Brazil, Raphael Claus pada Isnin selepas dia melayangkan kad merah kepada penyerang AS Folarin Balogun susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam perlawanan pusingan 32 menentang Bosnia dan Herzegovina minggu lepas.

Kad merah Balogun bagaimanapun digantung secara kontroversi pada Ahad, sekali gus membolehkannya beraksi dalam perlawanan pusingan 16 menentang Belgium yang menyaksikan AS tewas 1-4 pada Isnin di Seattle.

FIFA dalam satu kenyataan memuji Claus sebagai "antara pengadil profesional terbaik dunia dan anggota penting Team One (pasukan pengadil) pada Piala Dunia FIFA."

Menurut kenyataan itu, "Sepanjang kerjayanya, dia sentiasa menunjukkan tahap profesionalisme dan integriti yang tertinggi."

Collina berkata: "Raphael Claus mengadili Piala Dunia FIFA buat kali kedua selepas turut bertugas pada edisi Qatar 2022. Dia merupakan pengadil yang berpengalaman dan amat dihormati, dan kami terus memberikan keyakinan penuh terhadap dia sebagai pengadil yang dipercayai."

Claus juga berpeluang dipilih mengadili perlawanan akhir selepas Brazil tersingkir pada pusingan 16.

Presiden FIFA Gianni Infantino, yang dihubungi sendiri oleh Trump bagi meminta kad merah Balogun "disemak semula", turut memberikan penghargaan kepada semua pengadil tanpa menyebut nama Claus secara khusus.

Presiden FIFA itu menulis di Instagram:

"Piala Dunia FIFA 2026 merupakan satu kejayaan yang luar biasa dan antara penyumbang utama kepada kejayaan itu ialah kumpulan pengadil hebat kami, Team One.

"Kejohanan ini diadili oleh pengadil terbaik dunia yang dipilih menerusi proses penilaian yang ketat berdasarkan kemahiran, konsistensi dan kualiti mereka dalam tempoh yang panjang.

"Sekali lagi saya menegaskan bahawa kita mesti menghormati pengadil dan menghormati peraturan yang mengawal permainan ini. Hakikatnya sangat mudah dan tidak boleh dinafikan - tanpa pengadil, tiadalah bola sepak."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS