Samy Vellu digesa gugurkan pemimpin veteran MIC
Golongan pemimpin pelapis dalam MIC berharap lebih ramai akan mengikut jejak Timbalan Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk Dr L Krishnan yang memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Pasir yang diwakilinya, dalam pilihanraya umum akan datang.
Krishnan kini berusia 60 tahun dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama dua pengal. Beliau bertanding dalam pilihanraya umum 1995 dan pada 2004.
Ketua MIC Johor, Datuk KS Balakrishnan juga turut menyatakan kesediaannya untuk berbuat demikian jika diminta oleh Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.
Golongan pemimpin pelapis dalam MIC berharap lebih ramai akan mengikut jejak Timbalan Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk Dr L Krishnan yang memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Pasir yang diwakilinya, dalam pilihanraya umum akan datang.
Krishnan kini berusia 60 tahun dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama dua pengal. Beliau bertanding dalam pilihanraya umum 1995 dan pada 2004.
Ketua MIC Johor, Datuk KS Balakrishnan juga turut menyatakan kesediaannya untuk berbuat demikian jika diminta oleh Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.
Balakrishnan telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Gudang selama empat penggal sejak 1986 dan menang kerusi DUN Permas dalam pilihanraya umum 2004.
Golongan pemimpin muda dalam MIC berharap jejak langkah Krishnan dan Balakrishnan akan mencetuskan perubahan di peringkat tertingi parti dan selaras dengan janji Samy Vellu untuk memperkenalkan muka-muka baru dalam pilihanraya umum yang dijangka diadakan bulan depan.
Seorang pemimpin muda dari Selangor yang berharap akan dipilih sebagai calon MIC dalam pilihanraya umum akan datang, berkata beliau berharap lebih ramai pemimpin veteran melepaskan jawatan mereka di peringkat negeri dan pusat.
‘Sesetengah dari mereka telah menjadi wakil rakyat lebih dari 12 tahun. Terdapat juga yang menjadi wakil rakyat hampir 20 tahun. Sudah tiba masanya untuk mereka memberi peluang kepada calon-calon muda," katanya.
Antara pemimpin veteran yang dirasakan sudah sepatutnya bersara ialah:
* Tan Sri KS Nijhar (Ahli Parlimen (MP) Subang Jaya)
* Datuk S Veerasingam (Naib Presiden MIC, dan MP Tapah)
* Datuk Dr S Subramaniam (Setiausaha Agung dan MP Segamat)
* Datuk V Saravanan (Ketua MIC Kedah dan Adun Bukit Selambau)
* Datuk G Rajoo (Ketua MIC Perak dan Adun Hutan Melintang)
* Datuk R Raghavan (Ketua MIC Malacca dan Adun Asahan)
* Datuk K Rajapathy (Adun Perai)
* Datuk PK Subbaiyah (Adun Bagan Dalam di Pulau Pinang)
* Datuk V Jagarasah (Adun Batu Caves selama dua penggal)
Seorang lagi pemimpin muda yang juga berminat untuk bertanding dalam pilihanraya umum kali ini berkata, terdapat beberapa pemimpin yang sudah melewati usia persaraan mereka.
"Mereka sudah diberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan kini mereka seharusnya bersara, terutama apabila wujud sentimen yang tidak menyebelahi mereka ketika itu," katanya.
Menurutnya, bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam juga harus menyertai senarai persaraan tersebut.
"Dilaporkan Datuk Subramaniam sedang melobi Perdana Menteri (dan Pengerusi Barisan Nasional) untuk mendapatkan kerusi. Saya tidak fikir beliau patut diberi sebarang kerusi," katanya.
Kedua-dua pemimpin muda tersebut tidak mahu nama mereka disiarkan bagi mengelak daripada dilabelkan sebagai "pengacau bercita-cita tinggi".
‘Imej lebih dinamik’
Ketika dihubungi, Jagarasah dan Veerasingam berkata, mereka menyerahkan kedudukan mereka kepada Samy Vellu.
Ketua Penerangan MIC, M Saravanan pula enggan mengulas mengenai kedudukan pemimpin yang disenaraikan di atas, dengan berkata proses pemilihan calon adalah di tangan presiden.
"Saya pasti presiden mendengar pandangan semua pihak dan akan membuat keputusan yang terbaik untuk parti dan masyarakat," kata Saravanan yang juga pengerusi MIC Wilayah Persekutuan.
Samy Vellu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya tetapi sebelum ini telah mengumumkan bahawa beliau akan merombak parti itu dengan menggantikan wakil-wakil rakyat yang sudah lama. Menurutnya, hampir 50 peratus calon MIC akan terdiri daripada muka-muka baru.
MIC dan Samy Vellu berdepan dengan tekanan yang hebat dalam bulan-bulan kebelakangan ini kerana dipersalahkan atas kedudukan sosio-ekonomi masyarakat India serta kurangnya pengaruh politik dalam BN.
Sumber-sumber dalaman parti berkata Samy Vellu akan memperkenalkan muka-muka muda bagi meningkatkan imej parti dan 'memberinya wajah profesional dan dinamik'.
"Beliau juga merasakan bahawa pemimpin-pemimpin muda boleh berkhidmat dengan baik kepada masyarakat serta menangani masalah mereka," kata satu sumber.
Antara mereka adalah Saravanan, P Kamalanathan (Ketua Putera MIC), S Vel Paari (anak Samy Vellu), T Mohan (ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) dan ketua biro kebajikan pemuda), S Murugesan (angggota CWC) dan J Usha Nandhini (Ketua Puteri MIC).
"Bagaimanapun, wujud kebimbangan mengenai kemungkinan Datuk Samy Vellu membuat keputusan emosional untuk mengekalkan pemimpin-pemimpin veteran tersebut," kata satu lagi sumber.
Namun, tidak seorangpun daripada pemimpin-pemimpin muda yang menyentuh tentang kedudukan Samy Vellu sendiri. Beliau telah memimpin MIC sejak tahun 1979 dan menjadi menteri kabinet sejak 29 tahun lalu.
Beliau yang kini berusia 72 tahun, berkata akan mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya selama lapan penggal sejak tahun 1974. Berita asal

