PRN JOHOR | PKR Melaka berpendapat PH tidak melakukan sebarang kesalahan apabila memberikan peringatan kepada pengundi dengan mengaitkan PAS kepada BN di Johor kerana kebimbangan itu ditunjukkan sendiri oleh parti itu secara tidak langsung.
Ketua Penerangan PKR Melaka, Eddiarman Mohd Yunos, berkata setakat ini BN – termasuk bekas pemimpin kanannya, Khairy Jamaluddin – menunjukkan sikap dingin malah terus menjarakkan diri daripada PAS.
Katanya sikap itu ditunjukkan ketika PAS sendiri bersungguh-sungguh mahu menggembirakan BN dengan menjanjikan sokongan yang tidak berbelah bagi.
Merujuk kepada kenyataan Islamofobia dibuat Khairy selepas PH mengaitkan PAS dalam kempen mereka, Eddiarman berkata, pemimpin BN sendiri tidak menyambut baik tawaran yang diberikan PAS.
Katanya, apabila Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, memberikan janji tidak akan membawa PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri jika dia sekali lagi menjadi menteri besar, ada persoalan yang berbangkit.
“Khairy mendakwa PH menanamkan sentimen Islamofobia kepada pengundi kerana mengaitkan PAS dengan BN, tetapi pada masa sama Onn Hafiz secara terbuka menjauhkan diri daripada PAS.
“Bukankah itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa PAS adalah sesuatu yang mereka tidak ingini?” katanya dalam kenyataan hari ini.
PAS berkali-kali menyatakan kesediaan mereka membantu BN terus mentadbir Johor malah berjanji untuk “menampung” sebarang kekurangan – jika ada – selepas keputusan PRN diumumkan esok.
Semalam Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata jika ada calon PAS yang memenangi kerusi nanti, mereka sedia melengkapkan kemelangan BN sama ada untuk mencukupkan majoriti atau menambahnya menjadi majoriti mutlak.
PAS Johor juga menegaskan tawaran tersebut sebagai ikhlas, justeru tidak mengharapkan sebarang balasan. Pada masa sama PAS mengingatkan BN agar tidak sombong memandang remeh tawaran yang diberikan.
Eddiarman berkata PH sekadar menyatakan fakta bahawa PAS memang bersungguh-sungguh memberikan sokongan kepada BN namun BN pula menafikan hakikat tersebut.
“Jangan salahkan orang lain apabila kenyataan sendiri akhirnya memakan diri.
“Rakyat Johor cukup bijak untuk menilai. Yang keliru bukan rakyat, tetapi pemimpin yang hari ini cuba menafikan hakikat politik yang mereka sendiri ciptakan,” katanya.
