Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bermotosikal tanpa helmet: Giliran Loke, DAP pula kena kecam
Diterbitkan:  Jul 10, 2026 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Ketika kempen PRN Johor memasuki fasa akhir, Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjadi sasaran hasut maya (troll) dalam talian oleh pengkritik PH.

Ia berlaku selepas tular satu video memaparkan sekumpulan petugas kempen DAP menyertai konvoi motosikal dengan kenderaan mereka dihiasi bendera PH, namun ramai daripadanya didapati tidak memakai topi keledar.

Troll tersebut dibuat menerusi sebuah video pendek yang membandingkan insiden berkenaan dengan ucapan Loke di Dewan Rakyat hampir enam tahun lalu, ketika dia mengkritik pemimpin BN kerana melakukan perkara yang sama.

"Tidak mengapa (menunggang motosikal ketika berkempen), tetapi pakailah topi keledar dan tunjukkan contoh yang baik," kata Loke dalam ucapannya pada 26 Ogos 2020.

Dalam ucapan sama, Loke turut menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman kepada semua pihak yang melanggar peraturan berkenaan.

"Keluar saman kepada semua, jangan beri muka, tunjukkan bahawa undang-undang dikuatkuasakan tanpa sebarang layanan dua darjat,” katanya.

Untuk rekod, ucapan Loke itu dibuat ketika Ahli Parlimen Seremban berkenaan membangkitkan tindakan beberapa pemimpin BN menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Antara yang menjadi sasaran Loke ialah bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Ketika itu Loke dan PH juga berada di blok pembangkang kerana negara ditadbir oleh kerajaan PN.

Berdasarkan rakaman video yang tular kali ini, antara individu yang didakwa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ialah Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Video tersebut dipercayai dirakam dari sebuah kenderaan yang dinaiki Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

Setakat ini, salinan kandungan troll tersebut meraih lebih 6,200 tanda reaksi dan dikongsi lebih 1,900 kali sejak dimuat naik oleh seorang pempengaruh media sosial di Facebook pada Rabu.

Malaysiakini telah menghubungi Loke, Sheikh Umar dan Syerleena bagi mendapatkan maklum balas.

Akta Pengangkutan Jalan menetapkan setiap penunggang motosikal wajib memakai topi keledar keselamatan, dan kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS