Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes tikam pelajar: Remaja didakwa atas cubaan bunuh

Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di Banting, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Banting, Isnin lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid berkata tiada pengakuan direkodkan daripada remaja 15 tahun itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan membunuh ke atas seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dengan menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan dan perbuatan itu mempunyai niat untuk menyebabkan kematian pada 9.50 pagi, di sebuah sekolah menengah di Banting, 6 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda atau penjara hingga 20 tahun, atau boleh dihukum dengan hukuman mati jika kecederaan dilakukan dan tertuduh tertakluk kepada hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, remaja perempuan terbabit tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Pihak media yang tiba lebih awal tidak dibenarkan masuk ke mahkamah untuk mengikuti prosiding pendakwaan memandangkan kes berkenaan melibatkan tertuduh juvana.

Pendakwaan dikendalikan oleh Muhammad Amirul Syafiq, manakala tertuduh diwakili peguam.

Dalam prosiding secara tertutup itu, mahkamah turut memerintahkan remaja berusia 15 tahun itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak.

Mahkamah turut menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muhammad Amirul Syafiq ketika ditemui media di luar mahkamah berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Semalam, media melaporkan rasa tidak puas hati yang dipendam terhadap rakan dipercayai menjadi punca kejadian kes tikam seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata bagaimanapun berdasarkan siasatan awal, termasuk keterangan direkodkan daripada beberapa individu serta 10 pelajar yang namanya tersenarai dalam nota tular menerusi media sosial, mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur buli.

Sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting telah ditahan pihak polis, manakala pelajar perempuan yang cedera diberikan rawatan di Hospital Banting.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS