Populariti Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang mengatasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta perpecahan dalam pasukan pembangkang dilihat memberi kelebihan kepada BN untuk melepasi sasaran kemenangan dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar berkata, berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan, pihaknya menjangkakan BN akan memenangi 39 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH dijangka memperoleh sembilan kerusi.
"Kelebihan BN dibina daripada kombinasi calon yang lebih awal bekerja di kawasan, kekuatan jentera, sokongan teras Melayu yang kekal stabil serta populariti menteri besar yang tinggi merentas kaum dan generasi," katanya dalam kenyataan.
Dia berkata, kajian itu turut merekodkan tahap populariti Onn Hafiz sebanyak 79 peratus, berbanding Anwar yang mencatatkan 40 peratus dalam kalangan 1,250 responden.
"Ini sekali gus menjadikan beliau aset politik paling penting kepada BN sepanjang kempen," katanya.
Bagaimanapun, Hisommuddin mengingatkan bahawa dapatan itu perlu dilihat dalam konteks politik Johor dan tidak semestinya boleh diterjemahkan ke peringkat nasional.
"Landskap politik setiap negeri mempunyai struktur demografi, budaya politik dan tahap persaingan yang berbeza," tambahnya.

Menurutnya, lapan lagi kerusi masih berada dalam kategori persaingan sengit iaitu Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Bukit Batu.
Dia berkata, keputusan di kawasan berkenaan banyak bergantung kepada kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina, arah sokongan penyokong PN serta jumlah pengundi yang masih belum membuat keputusan.
Hisommuddin berkata, antara faktor paling dominan ialah konteks PRN yang berlangsung secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU), apabila pertimbangan pengundi lebih tertumpu kepada prestasi kerajaan negeri, rekod pentadbiran, keberkesanan Menteri Besar serta pembangunan yang dirasai secara langsung.
"Berbeza dengan PRU yang lazimnya dipengaruhi sentimen nasional, ‘setting’ PRN memberi ruang kepada BN memanfaatkan kelebihan sebagai kerajaan negeri tanpa terlalu dibebani persepsi terhadap kerajaan persekutuan.
"Pada masa yang sama, PN bukan lagi ancaman utama kepada BN sebagaimana berlaku pada PRU15," katanya.
Tambahnya, kajian lapangan mendapati imej PN semakin tercalar susulan perkembangan hubungan antara PAS dan Bersatu yang menghantar isyarat bercelaru kepada penyokong mereka sendiri.
