Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali hari ini memohon maaf atas tindakannya tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 baru-baru ini seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Sheikh Umar yang juga ahli Dewan Negara dan bekas Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mengaku beliau merupakan individu yang tular dalam video berkenaan.
“Saya mohon maaf kerana menaiki motosikal tanpa topi keledar pada pagi penamaan calon di pekan Paloh. Saya akan bayar saman,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Terdahulu Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengeluarkan saman terhadap individu yang dikesan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar berkenaan berdasarkan bukti video yang tular.
Menterinya Anthony Loke berkata MOT mengambil serius isu yang tular berkaitan sekumpulan petugas kempen PH, termasuk dari DAP, yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa kempen PRN Johor.
Hari pengundian bagi PRN Johor ke-16 ditetapkan pada esok, 11 Julai.
- Bernama
