Bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, hari ini mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik kenyataan berbunyi "pengkhianat tetap pengkhianat" di media sosial.
Hantaran di Facebook itu dibuat sehari selepas Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
"Pengkhianat tetap pengkhianat. Kami tetap tolak walau di mana mereka," tulis Shukri dalam hantaran tersebut.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohd Shukri yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perlis enggan menjelaskan individu yang dimaksudkan dalam kenyataannya.
Sebaliknya, Adun Sanglang itu berkata individu berkenaan tahu bahawa kenyataan tersebut ditujukan kepadanya.
"Orang yang kena tolak, dia fahamlah tu. Kena cari sendiri, jangan tanya saya. Tapi yang kena tolak ini tahulah siapa dia," katanya.
Ditanya sama ada kenyataan itu merujuk kepada tiga bekas Adun PAS yang sebelum ini meninggalkan parti, Shukri sekali lagi enggan mengulas.
"PAS dah ambil tindakan... Saya tak nak jawablah, minta maaflah," katanya.

Semalam, Abu Bakar mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota MPT Bersatu bagi memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Dia berkata keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
Katanya, dia sukar menghadiri beberapa mesyuarat kepimpinan pusat parti dan mahu memberi komitmen penuh kepada pentadbiran negeri serta Bersatu Bahagian Kangar dan negeri Perlis.
Abu Bakar turut menafikan peletakan jawatan itu mempunyai kaitan dengan sebarang rancangan untuk menyertai parti lain.
Selain Abu Bakar, Exco Perlis Marzita Mansor turut meletakkan jawatan sebagai anggota MPT Bersatu.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat rancangan mengemukakan usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan datang, Shukri berkata perkara itu masih terlalu awal kerana sidang hanya dijangka berlangsung pada Ogos.
"Lambat lagi. Sidang DUN pun lambat lagi, dalam bulan 8 rasanya.
"Nanti saya jumpa pimpinan pusat dulu sebab kami di peringkat negeri tak boleh buat keputusan sendiri," katanya.
Bagaimanapun, Shukri berkata dia telah menghubungi Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bagi mengatur pertemuan untuk membincangkan perkara itu, namun setakat ini belum menerima sebarang maklum balas.
"Tak pasti bila, tapi saya dah buat janji temu dengan Tok Guru dan dia belum bagi jawapan lagi, mungkin sibuk dengan PRN Johor," katanya.
