Di sebalik keluhan pengusaha restoran mengenai kesukaran mendapatkan tenaga kerja pascapembekuan, timbul kemungkinan wujudnya sebuah rantaian gelap yang mengeksploitasi sistem kuota gantian pekerja asing di peringkat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Siasatan mendapati tindakan memanipulasi rekod dalam pangkalan data imigresen menjadi kunci utama yang membolehkan sindiket bergerak dan dipercayai mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit melalui kelulusan kuota tidak sah.
Kegiatan ini mula dikesan apabila semakan silang dibuat ke atas sistem utama, Sistem Imigresen Malaysia (MYIMMS) dengan dokumen yang dikeluarkan oleh Bahagian Pekerja Asing JIM kepada pihak restoran.
Berdasarkan dokumen yang diteliti serta pendedahan sumber dalaman, terdapat dua modus operandi utama yang menggunakan bantuan orang dalam untuk meluluskan dokumen rasmi yang menggunakan rekod yang sudah dimanipulasi.
Modus operandi pertama membabitkan manipulasi tarikh Memo Keluar (Check Out Memo atau COM), dengan menyatakan tarikh berbeza bagi pekerja asing yang telah lama pulang ke negara asal mereka.
Mengikut dasar semasa Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelulusan kuota gantian secara kes demi kes hanya dibenarkan bagi pekerja asing yang pulang ke negara asal dengan COM yang dikeluarkan selepas tahun 2023.

Manipulasi tarikh pulang
Bagaimanapun, sindiket itu dikesan memanipulasi butiran pekerja asing yang sebenarnya telah pulang sebelum tahun 2023.
Ejen dipercayai bertindak mengambil butiran peribadi pekerja lama ini dan membayar sejumlah wang kepada pegawai imigresen bagi memanipulasi tarikh pada dokumen rasmi yang dikeluarkan.
Hasilnya, imigresen mengeluarkan dokumen rasmi dikenali sebagai Pengesahan Pekerja Asing Keluar Bagi Permohonan Kuota Penggajian Pekerja Asing Secara Case-By-Case Basis yang menyatakan pekerja berkenaan kononnya keluar dari Malaysia selepas tahun 2023 demi melayakkan majikan memohon kuota baru.
Manipulasi status majikan asal
Taktik kedua pula melibatkan manipulasi status majikan asal pekerja asing dalam pangkalan data imigresen sebelum pekerja pulang.
Bagi kes ini, pekerja asing terbabit sebenarnya bekerja secara sah dengan majikan asal, dinamakan sebagai Majikan A, dan telah pun pulang ke negara asal menggunakan COM yang sah.
Namun, ejen, dipercayai bertindak dengan bantuan pegawai dari imigresen menukar rekod majikan pekerja tersebut kepada restoran baru, dinamakan sebagai Majikan B, di dalam pangkalan data.
Melalui manipulasi data ghaib ini, status pekerja bertukar seolah-olah dia sejak awal lagi bekerja dengan Majikan B.
Seterusnya, Majikan B akan mengemukakan permohonan kuota gantian dengan mendakwa pekerja tersebut adalah milik mereka yang telah pulang ke negara asal, dan Bahagian Pekerja Asing akan mengeluarkan surat pengesahan rasmi berdasarkan data yang telah diubah itu.
Siasatan mendapati terdapat jurang dan percanggahan ketara antara status sebenar dalam sistem induk MYIMMS berbanding surat pengesahan fizikal yang dikeluarkan oleh Bahagian Pekerja Asing JIM.

Percanggahan butiran
Sebagai contoh, salah satu restoran yang beroperasi di Kuala Lumpur hanya mempunyai lima pekerja asing yang layak untuk kuota gantian berdasarkan maklumat di MYIMMS, namun surat pengesahan daripada Bahagian Pekerja Asing imigresen bertarikh 8 Mei 2026 menunjukkan restoran tersebut dibenarkan mendapat gantian sebanyak 18 pekerja asing.
Sementara itu, sebuah restoran dari negeri di utara tanah air mempunyai rekod 609 pekerja asing dalam sistem MYIMMS dan memohon gantian untuk 15 pekerja.
Bagaimanapun, semakan rekod JIM menunjukkan bahawa daripada 15 pekerja itu, 14 daripadanya telah pulang sebelum tahun 2023 dan tidak layak mendapat kuota, manakala seorang lagi pekerja tidak pernah bekerja di restoran tersebut.
Kes ketiga melibatkan restoran yang mempunyai tiga cawangan di Lembah Klang yang menerima surat pengesahan bertarikh 30 Mac tahun ini untuk 30 kuota gantian, tetapi carian sistem mendapati hampir semua nama yang tersenarai tidak pernah bekerja dengan restoran berkenaan.
Penglibatan pemain industri
Sementara itu, satu sumber dalaman daripada JIM mendedahkan kepada Malaysiakini mengenai tahap penglibatan pemain industri dalam sindiket ini.
"Lebih 300 restoran menerima kuota gantian dalam masa enam bulan ini.
"Dan kebanyakannya menggunakan modus operandi yang sama," kata sumber.
Semakan Malaysiakini mendapati skala penyelewengan ini didapati sangat luas dan bukan sekadar kes terpencil.
Kebanyakkan ejen yang terlibat dalam sindiket ini adalah daripada sebuah persatuan restoran yang juga merupakan salah satu pihak berkepentingan dalam menetapkan dasar dan polisi di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Ketika dihubungi, persatuan itu menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berhubung dakwaan manipulasi kuota pekerja asing yang dikatakan melibatkan ahli-ahli persatuan tersebut.
"Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat asas yang kukuh dan berwibawa terhadap dakwaan tersebut yang melibatkan mana-mana ahli persatuan kami, kami memandang perkara ini dengan amat serius.
"Kami menyokong dan menghormati sepenuhnya kuasa agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, bebas dan telus terhadap sebarang dakwaan tersebut," kata presiden persatuan itu yang meminta Malaysiakini tidak mendedahkan identiti persatuan itu kepada umum.
Tambahnya, persatuan itu yang mempunyai lebih 7,000 ahli seluruh negara tidak akan melindungi, mempertahankan atau campur tangan bagi pihak mana-mana ahli yang didapati telah melanggar undang-undang.
"Mana-mana individu yang didapati terlibat hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut proses sewajarnya dan undang-undang Malaysia.
"Persatuan kekal komited untuk menjunjung prinsip tadbir urus yang baik, akauntabiliti, ketelusan serta standard integriti tertinggi dalam mewakili kepentingan ahli-ahli dan industri," katanya.
Sementara itu, penelitian dengan pemain industri turut mendedahkan rantaian rasuah yang sistematik, di mana setiap kelulusan mempunyai tanda harga yang khusus, iaitu sekitar RM2,000 bagi setiap pekerja gantian yang berjaya diperoleh oleh pihak restoran.
Seorang pengusaha restoran yang mengaku terpaksa menjadi mangsa keadaan dan menerima perkhidmatan ini.
Mangsa menjelaskan bahawa tindakan ini terpaksa diambil kerana saluran rasmi yang disediakan oleh kementerian telah buntu dan dia tidak diberikan sebarang jalan penyelesaian kepada masalah kekurangan pekerja.
"Bila kami ke sana, pegawai imigresen terima permohonan kami dan berkata akan memanggil untuk temuduga.
"Tapi, tak berlaku apa-apa. Maka, kami terpaksa menggunakan ejen-ejen seperti ini untuk mendapatkan kelulusan," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan maklum balas serta ulasan rasmi berhubung dakwaan salah laku, manipulasi data, serta kebocoran sistem integriti dalaman ini.
