Wartawan veteran, P Gunasegaram mempertahankan artikelnya mengenai laluan LRT3 Shah Alam selepas menerima surat tuntutan daripada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan naib pengerusi eksekutifnya, Salim Fateh Din.
Gunasegaram, yang juga kolumnis Malaysiakini, berkata artikel itu merupakan ulasan yang adil terhadap perkara yang mempunyai kepentingan dan perhatian awam, sambil menambah bahawa kos asal projek sebanyak RM31.7 bilion kemudiannya dikurangkan menjadi RM16.7 bilion, dan kemudiannya dinaikkan semula kepada RM22 bilion.

"Rakyat berhak mendapat penjelasan penuh daripada kerajaan mengenai kos dan kelewatan tersebut," katanya dalam jawapannya terhadap surat tuntutan itu.
"Menyebut nama MRCB dan naib pengerusinya adalah perkara fakta. Penglibatan mereka dalam syarikat itu tidak boleh dinafikan. Saya sekeras-kerasnya menafikan sebarang fitnah dan niat jahat.
"Saya menegaskan bahawa saya masih dalam lingkungan kewartawanan. Artikel saya menimbulkan persoalan yang munasabah. Ia merupakan ulasan adil yang dibuat atas topik kepentingan awam dan kos yang besar, yang terdapat kewajaran," tambahnya.
Sambil enggan menarik balik artikel itu atau memohon maaf, Gunasegaram berkata dia bersedia untuk menerbitkan pandangan daripada pihak MRCB dan Salim.
"Bagaimanapun jika MRCB dan naib pengerusi itu mahu menyatakan pandangan mereka dalam artikel munasabah yang tidak memfitnah sesiapa, saya berbesar hati untuk memberikan ruang yang sama kepada ulasan mereka dalam satu jawapan untuk penerbitan di bawah kawalan saya demi semangat kebebasan bersuara dan hak untuk didengar," tambahnya.

Dalam surat tuntutan yang dihantar kepada Gunasegaram melalui Tetuan Selva Mookiah, MRCB dan Salim, yang juga pengerusi SKMM, mendakwa bahawa artikel itu mengandungi sindiran serius mengenai naungan politik, ketidakteraturan perolehan dan penyalahgunaan sumber awam tanpa menyatakan sebarang asas fakta yang mampu membuktikan dakwaan tersebut.
