Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh membidas Nga Kor Ming yang didakwanya tidak berani menulis dan menghantar surat perletakkan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri susulan prestasi lesu Pakatan Harapan, khususnya DAP pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.
“Kalau surat pun kamu tidak berani tulis dan hantar, jangan sembanglah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Bagi membuktikan keseriusannya, Akmal berkongsi salinan surat peletakan jawatan dirinya sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka bertarikh 19 Januari lalu yang dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka sebagai rujukan Nga.
Menurut Akmal, langkah berkenaan diambil bagi memudahkan menteri terbabit menyediakan surat peletakan jawatan secara rasmi tanpa perlu membuang masa.
"Saya sertakan surat peletakan jawatan saya sebagai exco kerajaan negeri Melaka yang bertarikh 19/01/2026 kepada TYT negeri Melaka untuk menjadi sumber rujukan kepada kamu bagi menulis surat peletakan jawatan sebagai menteri.
“Kamu boleh ubah nama, tarikh dan tempat mengikut kesesuaian.
“Ayat-ayat yang lain kamu boleh tiru 100 peratus," sindirnya lagi.

Cabaran terbuka ini dijangka meningkatkan suhu politik dalaman kerajaan memandangkan kedua-dua mereka mewakili parti yang membentuk pentadbiran bersama di peringkat Persekutuan.
Semalam, Nga yang adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata dia kekal dengan pendiriannya yang bersedia meletakkan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara.
Menurutnya, pendirian itu dibuat atas prinsip serta tidak mempunyai kaitan dengan soal peribadi.
Maklum balas Nga menyusul selepas Akmal dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bergantian mengingatkannya tentang “ikrar untuk meletak jawatan jika BN memenangi pilihan raya negeri Johor”.
Sebelum ini, Akmal memberitahu Nga bahawa dia sendiri akan menulis surat peletakan jawatan jika menteri DAP itu lupa cara untuk melakukannya.
“Nga Kor Ming, tidak mengapa. Kita tunggu habis nanti. Kalau Nga Kor Ming tak tahu nak tulis surat peletakan jawatan, saya buatkan untuk dia,” kata Akmal dalam satu klip video pendek yang dimuat naik di akaun Threads.
Tuan Ibrahim pula, ketika mengucapkan tahniah kepada BN, berkata selepas pilihan raya negeri berakhir, perhatian kini beralih kepada janji yang dibuat sepanjang kempen.

“Antara yang paling mendapat perhatian ialah kenyataan YB Nga Kor Ming, yang berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya Pakatan Harapan gagal mencapai sasaran dalam PRN Johor.
“Sudah semestinya rakyat sedang menunggu sama ada janji tersebut akan ditunaikan.
“Pemimpin DAP ini perlulah menunaikan janji yang lafazkan. Jika tidak DAP adalah parti yang hanya pandai berjanji namun tiada integriti.,” katanya.
Pada pilihan raya Johor Sabru lalu, BN mengekalkan penguasaannya di negeri itu selepas memenangi 48 kerusi, bertambah lapan kerusi berbanding pilihan raya negeri pada Mac 2022.
PH, yang kini menjadi satu-satunya pembangkang di Johor, memenangi lapan kerusi, berkurangan daripada 12 kerusi yang dikuasainya sebelum ini.

Satu lagi gabungan utama, PN pula kehilangan kesemua tiga kerusi yang pernah dikuasainya.
Sementara itu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi turut menggesa Nga supaya meletak jawatan daripada kabinet dengan serta-merta.
Dalam hantarannya, Puad menyindir bahawa Nga tidak sepatutnya mencontohi Akmal, sambil menyelar ketua Pemuda Umno itu kerana gagal menunaikan ikrar peletakan jawatannya walaupun sebelum ini menunjukkan keberanian.
“Jangan ikut perangai Akmal. Dia kata mahu letak jawatan. Tetapi tidak jadi. Dia bagi berbagai alasan. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.Pokoknya dia tidak ada integriti.
“Ikut macam saya. Bila saya mahu keluar parti, saya tetap keluar parti.
“Saya sebut, saya keluar parti ketika parti berada dalam kedudukan kuat. Ternyata betul, BN menang 48 kerusi (pada PRN Johor Sabtu lalu),” kata Puad.

Pada 4 Februari lalu, Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata Akmal kekal sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri bagi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Bernama melaporkan dia sebagai berkata walaupun Adun Merlimau itu menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai anggota exco, perkara berkenaan belum dibincangkan dengan Yang di-Perua Negeri Melaka, Rustam.
"Saya belum berunding dengan (TYT)... bermakna buat masa ini dia kekal sebagai anggota exco," kata Rauf.
Pada perhimpunan Pemuda Umno 15 Januari lalu, Akmal mengumumkan peletakan jawatannya daripada kerajaan Melaka dan berikrar untuk menentang DAP "hingga ke titisan darah terakhir".
"Saya cukup berani untuk menyatakan bahawa saya meletak jawatan untuk 'lawan DAP habis-habisan'," katanya yang disambut dengan tepukan dan sorakan daripada para perwakilan.
Akmal berkata keputusan yang diambilnya adalah berdasarkan maruah.
"Apabila orang menyuruh saya meletak jawatan, saya mahu menyatakan bahawa saya mempunyai maruah. Saya ialah individu yang akan membawa suara rakyat di peringkat akar umbi. Saya membawa suara ahli akar umbi yang berasa bimbang.
"Saya dengan ini meletak jawatan sebagai anggota exco kerajaan Melaka berkuat kuasa minggu depan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, ketika itu.
