Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu pembebasan Najib: Nga kawan saya, kata Zahid
Diterbitkan:  Jul 13, 2026 5:15 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menegur Nga Kor Ming supaya membuat kenyataan secara berpatutan selepas menteri DAP itu berikrar akan meletak jawatan jika bekas perdana menteri, Najib Razak, dibebaskan.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, perkara sedemikian perlu dibuat secara munasabah memandangkan kedua-dua pihak berada dalam kerajaan perpaduan, dan bukannya di pihak bertentangan seperti dahulu.

“Tak ada nasihatlah, tetapi kenyataan itu biarlah berpatutan. Setiap minggu kita berjumpa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita bukan lagi seperti dahulu ketika berada dalam pembangkang.

"Kalau kita dalam pembangkang, mungkin kenyataan itu boleh dianggap sebagai kenyataan yang seharusnya, tetapi kalau kita sama-sama dalam kerajaan, tidak perlulah perkara-perkara seperti itu dibangkitkan. Saya akan jumpa dia, dia kawan saya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Worldskills Shanghai di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia yang juga pengerusi BN berkata, dirinya akan menemui Nga, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan, bagi membincangkan perkara itu.

Nga Kor Ming

Menurutnya, hubungan antara pemimpin kerajaan perpaduan pada peringkat Persekutuan kekal baik dan profesional serta menegaskan semua pihak bergerak sebagai satu pasukan sehingga tamat penggal pentadbiran.

"Sebenarnya kita berada dalam kerajaan Perpaduan. Menteri dan timbalan menteri berada dalam situasi yang sangat kondusif dan kita bergerak sebagai satu pasukan secara profesional.

“Tak apalah, saya akan jumpa dia. Dia kawan saya,” katanya lagi.

Semalam, Nga dilaporkan berkata, dia hanya berikrar akan meletak jawatan sekiranya Najib dibebaskan daripada hukuman penjara, bukannya jika BN mencatat kemenangan besar dalam PRN Johor.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International, selepas hukuman asal 12 tahun dikurangkan Lembaga Pengampunan pada 2024. Hukuman itu dijadualkan tamat pada 23 Ogos 2028.

Dia turut dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dalam kes berkaitan 1MDB, namun telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS