Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan warga Israel di Forest City: Johor desak siasatan menyeluruh
Diterbitkan:  Jul 14, 2026 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Kerajaan Johor meminta pihak berkuasa menyiasat sebuah komuniti teknologi di Forest City — yang dikenali sebagai Network School — berikutan dakwaan bahawa warga Israel yang mempunyai dua kewarganegaraan tinggal di kawasan berkenaan.

Network School ialah sebuah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan. Komuniti ini menyasarkan golongan yang digelar "techno-optimist" dan mengenakan bayaran sebanyak AS$1,500 (RM6,118.50) sebulan untuk penginapan, makanan serta perkhidmatan lain termasuk akses ke gimnasium.

Premis itu mula menjadi tumpuan ketika tempoh pilihan raya negeri Johor selepas muncul dakwaan di media sosial bahawa warga Israel yang menggunakan pasport kewarganegaraan kedua mereka adalah antara individu yang tinggal di komuniti tersebut.

Onn Hafiz Ghazi

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi menyatakan bahawa pihak negeri meminta Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, polis, Jabatan Kastam dan agensi lain untuk memeriksa kewarganegaraan individu yang terlibat bagi menentukan jika mereka menggunakan pasport kedua.

“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia.,” katanya.

Onn juga mahu pemeriksaan dilakukan bagi memastikan sama ada warga asing yang tinggal di komuniti itu mematuhi visa kemasukan mereka atau sebaliknya.

Selain itu, menteri besar turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Digital untuk memeriksa status Network School. Langkah ini diambil walaupun komuniti berkenaan dilihat tidak menyediakan sebarang perkhidmatan pendidikan atau meletakkan statusnya sebagai institusi pengajian tinggi.

Di peringkat negeri, Onn berkata, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan pejabat tanah akan memeriksa sama ada komuniti teknologi Forest City itu mematuhi semua undang-undang tempatan serta akan mengambil tindakan jika berlaku pelanggaran peraturan.

“Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, kerajaan negeri menggesa agar tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS