Paling Popular
Terkini

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan pindaan terhadap enakmen negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik.

Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 diluluskan menerusi undian suara, dengan 23 Adun menyokong manakala lima lagi membantah.

Antara yang menyokong pindaan itu ialah Ketua Pembangkang Melaka merangkap Adun Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Hanya tiga Adun mengambil bahagian dalam perbahasan, iaitu Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bersatu-PN), Adun Rim, Khaidhirah Abu Zahar (Umno-BN) dan Adun Kelebang, Lim Bang Hong (MCA-BN).

Walaupun beberapa kali cuba mencelah dan menyuarakan bantahan terhadap pindaan itu, Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee (DAP-PH), tidak dibenarkan berbuat demikian.

Kerk juga merupakan Timbalan Speaker DUN Melaka.

Dalam ucapannya ketika mencadangkan pindaan itu, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, Adun dilantik akan membolehkan perwakilan yang lebih pelbagai, termasuk golongan wanita, profesional dan Orang Asli.

"Pelantikan ini boleh meningkatkan penyertaan golongan wanita, belia, Orang Asli, komuniti minoriti, profesional atau wakil sektor industri yang mungkin tidak berjaya melalui proses pilihan raya tetapi mampu menyumbang pembangunan negeri.

"Beberapa negeri di Malaysia turut mempunyai peruntukan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri atau ahli tambahan bagi memperkukuh fungsi legislatif dan memastikan komposisi dewan lebih inklusif. Pelantikan sedemikian adalah sebahagian daripada mekanisme perlembagaan negeri," kata Rauf.

Pindaan berkenaan

Fasal 2 bertujuan untuk meminda Perkara 11 Perlembagaan Negeri Melaka, untuk memasukkan bilangan Adun yang dilantik tidak lebih tujuh ahli.

Fasal 3 pula bertujuan memasukkan Perkara baru 11A, 11B, dan 11C.

Di bawah Perkara 11A baru, anggota yang dilantik hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri selepas mendapat usul yang disokong sekurang-kurangnya tujuh Adun dan diluluskan melalui majoriti mudah.

Tiada seorang pun boleh dilantik menjadi ahli yang dilantik melainkan ia bermastautin di negeri Melaka.

Seseorang ahli yang dilantik perlu mengosongkan kerusi dalam DUN sekiranya mereka meletakkan jawatan, sekiranya usul untuk memecat mereka disokong sekurang-kurangnya tujuh ADUN dan diluluskan dengan majoriti mudah, atau sekiranya DUN dibubarkan.

Ahli yang dilantik juga tidak boleh dilantik sebagai Ketua Menteri atau anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Mereka boleh berucap dengan menyertai perbahasan dalam DUN serta dalam jawatankuasa yang mereka dilantik sebagai anggota, dan mereka juga boleh mengundi tertakluk kepada had yang diperuntukkan di bawah Artikel 11B.

Mereka turut menikmati sebarang hak dan keistimewaan yang diberikan kepada ahli yang dipilih melalui pilihan raya.

Di dalam Perkara baru 11B, Yang di-Pertua Negeri boleh, atas nasihat Ketua Menteri, menamatkan pelantikan ahli yang dilantik tanpa ada kewajipan untuk memberikan alasan.

Ini sekiranya Yang di-Pertua Negeri menganggap bahawa penamatan itu adalah perlu untuk kepentingan negara atau negeri Melaka, demi kepentingan keselamatan negara atau untuk maksud dasar kerajaan atau dasar awam.

Juga dijelaskan bahawa kepentingan negara atau negeri Melaka, kepentingan keselamatan negara, dasar kerajaan dan dasar awam ditentukan secara tunggal oleh kerajaan negeri dan penentuan tersebut adalah muktamad serta tidak boleh dicabar di mahkamah.

Di dalam Perkara baru 11C, dijelaskan bahawa Perkara 12, 13, 14, 15, 17, 18, 21, dan 25 Perlembagaan Negeri adalah terpakai mutatis mutandis (perubahan yang perlu) kepada seseorang ahli yang dilantik.

Pindaan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas sama ada ahli yang dilantik itu turut boleh mengundi dalam usul undi percaya atau tidak percaya.

Pandangan Adun

Dalam ucapannya ketika membahaskan pindaan itu, Yadzil mencadangkan supaya jumlah Adun lantikkan dihadkan kepada maksimum lima orang berbanding tujuh orang.

Dia turut mencadangkan supaya mereka tidak diberikan hak mengundi dalam usul undi percaya atau perkara yang melibatkan mandat rakyat.

Sementara itu, Lim berkata langkah memasukkan Adun lantikan berperanan sebagai pelengkap, manakala wakil yang dipilih melalui pilihan raya akan terus memainkan peranan lebih penting.

Dia menambah bahawa Adun lantikan boleh berfungsi sebagai suara pembangkang bagi memastikan wujudnya semak dan imbang.

Khaidhirah pula berkata, walaupun terdapat cadangan supaya mereka dilantik sebagai penasihat, golongan penasihat biasanya bekerja secara tertutup dan dalam suasana yang lebih eksklusif.

Katanya, wakil rakyat negeri pula boleh mengemukakan idea, cadangan dan usul secara terbuka dalam DUN, sekali gus menjadikan proses tersebut lebih telus.

Khaidhirah turut mengingatkan bahawa jawatan itu tidak sepatutnya diberikan sebagai "hadiah saguhati" kepada mana-mana wakil parti yang kalah dalam pilihan raya negeri atau kepada individu yang mempunyai hubungan peribadi rapat dengan anggota kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS