Polis Antarabangsa (Interpol) tidak campur tangan dalam kes jenayah yang mempunyai unsur politik seperti hasutan, kenyataan jelik serta kes berkaitan agama atau perkauman, kata peguam Aidil Khalid.
Bekas peguam kepada aktivis Tamim Dahri itu berkata, pentadbiran Interpol akan meneliti dan menapis terlebih dahulu setiap permohonan daripada negara anggota sebelum mengeluarkan notis merah (Red Notice) terhadap seseorang.
"Hal ini sebab Interpol tidak ditubuhkan sama macam polis tempatan.
"Sebaliknya dalam menjalankan operasi, Interpol, atau polis antarabangsa, terikat kepada beberapa instrumen yang menjadi perlembagaan dan kaedah serta aturannya," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Aidil berkata, Perkara 3 Perlembagaan Interpol secara tegas melarang agensi itu daripada campur tangan dalam kes yang melibatkan jenayah berunsur politik seperti hasutan atau kenyataan jelik, selain kes berkaitan agama dan perkauman.
"Maka sebab itu matlamat hakiki Interpol sebenarnya lebih kepada membanteras jenayah terancang rentas sempadan, seperti pemerdagangan manusia, terorisme, pengedaran dadah, jenayah siber seperti scam dan fraud antarabangsa serta gubahan wang haram.
"Interpol bukan untuk disibukkan dengan jenayah-jenayah kecil lagi remeh temeh, hanya sebab sekumpulan manusia merasa sakit hati," katanya lagi.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon Interpol mengeluarkan notis merah pada 8 Jun bagi mengesan dan membawa pulang Tamim Dahri ke Malaysia untuk membantu siasatan berhubung kes provokasi agama.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata permohonan itu dibuat selepas PDRM turut memohon pembatalan pasport suspek sebagai sebahagian daripada usaha mengesan keberadaannya.
Menurutnya, semakan rekod pergerakan keluar masuk negara bersama Jabatan Imigresen mendapati Tamim Dahri masih berada di luar negara.
Pada 17 Mac lalu, Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas dimaklumkan bahawa dia dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan negara melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand pada 9 Mac sebelum dikesan berada di Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Pada 17 Mei lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek.
Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan soolam, simbol suci penganut Hindu, di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.
Mengulas lanjut, Aidil berkata Kaedah 83 Peraturan Interpol Mengenai Pemprosesan Data menggariskan tiga syarat sebelum notis merah boleh dikeluarkan bagi membolehkan seseorang suspek dikehendaki di peringkat antarabangsa.
Pertama, katanya, notis merah tidak boleh dikeluarkan bagi kesalahan yang boleh dipertikaikan dari segi sifat jenayahnya kerana melibatkan isu kebudayaan atau kebiasaan di negara lain.
"Contohnya di banyak negara, perbuatan membakar bendera, misalnya adalah cara protes dan berekspresi yang sah dan diiktiraf, dan tidak boleh dijadikan jenayah.
"Walaupun mungkin di negara-negara konservatif tertentu menganggapnya sebagai jenayah, tapi Notis Merah tak boleh dikeluarkan untuk perkara seperti ini. Hal yang sama juga untuk perkara-perkara melibatkan kritikan kepada simbol agama mahupun kepercayaan.
"Kedua, notis merah tidak boleh dikeluarkan untuk mana-mana kesalahan yang melibatkan hukuman bawah dua tahun penjara. Dan ketiga, notis merah hanya boleh dikeluarkan, jika ia dianggap penting dan mustahak bagi tujuan kerjasama polis antarabangsa.
"Maka sebab itu, kesalahan-kesalahan remeh melibatkan dakwaan memijak besi buruk tajam yang membahayakan di tempat awam - yang tidak pun menjadi jenayah di kebanyakan negara lain - bukanlah satu kesalahan yang Interpol sepatutnya disibukkan dengannya," jelasnya.
