Di sebalik campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meredakan keadaan dengan menggesa DAP Melaka mempertimbangkan semula keputusan keluar daripada kerajaan negeri, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata partinya nekad dan tidak akan menarik balik peletakan jawatan mereka.
Penolakan ini menyusul selepas DUN Melaka meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk menambah tujuh Adun lantikan. Sebagai protes, DAP Melaka mengumumkan peletakan jawatan secara kolektif daripada semua jawatan kerajaan dan keluar serta-merta daripada kerajaan negeri.

Loke menegaskan bahawa pendirian itu sudah dimaklumkan dan kepimpinan pusat DAP menghormati sepenuhnya dan menyokong keputusan negeri itu.
Semalam, Anwar yang juga pengerusi PH, cuba campur tangan dengan memohon empat Adun DAP yang meletak jawatan itu supaya menangguhkan keputusan mereka.
Katanya, mereka tidak seharusnya membiarkan pertikaian menjadi penghalang dan perlu mencari penyelesaian terlebih dahulu dengan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh bagi memastikan pentadbiran negeri lancar dan tidak menjejaskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, apabila disoal hari ini, Loke menjelaskan bahawa dia sudah menyampaikan pendirian parti itu kepada Anwar dan tidak akan menarik balik pendirian DAP Melaka tersebut.

"Keadaan adalah seperti yang sedia ada. Keputusan ini sudah dibuat, dan sukar untuk ubah keseluruhan keadaan atau situasi ini," katanya.
"Mustahil untuk kami mengubah pendirian kami (membantah RUU Adun lantikan), dan DUN sudah pun mengundi dan merekodkannya.
"Kami menentangnya (RUU pindaan perlembagaan yang dicadangkan oleh kerajaan) di DUN. Mengikut prinsip demokrasi, meletak jawatan ialah keputusan yang paling wajar." kata Loke.
DAP Pusat hormat dan sokong keputusan
Loke mendedahkan bahawa Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong sudah memberi taklimat kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mengenai keputusan ini seawal 13 Julai.
"Kami sudah memutuskan untuk menentang semasa proses pengundian (di DUN).

"Kami mempunyai empat Adun di Melaka. Seorang daripada mereka adalah ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) dan anggota kerajaan. Mengikut prinsip, mereka mesti menyokong pendirian kerajaan.
"Memandangkan kami tidak menyokong usul kerajaan ini (untuk menambah Adun lantikan), prinsip am menetapkan tindakan adalah meletak jawatan kerajaan dan berundur.
"Kami membuat keputusan ini demi menegakkan prinsip tersebut, dan kepimpinan pusat DAP muktamad menghormati serta menyokong keputusan oleh DAP Melaka ini," katanya.
Percanggahan dalam PH
DUN Melaka semalam meluluskan RUU pindaan perlembagaan untuk menambah Adun lantikan, yang mendorong DAP Melaka mengumumkan keluar serta-merta daripada kerajaan.
Bagaimanapun, PKR Melaka kemudiannya menyatakan bahawa walaupun ia menghormati hak Adun DAP untuk menyatakan pendirian mereka dalam perkara itu, ia menentang tindakan mereka keluar daripada kerajaan negeri. PKR menyatakan bahawa keputusan ini tidak mencapai konsensus terlebih dahulu daripada kepimpinan PH Melaka.

Empat Adun DAP kini ditempatkan di bangku pembangkang di DUN hari ini, manakala Pengerusi PH Melaka Adly Zahari , wakil tunggal Amanah kekal duduk di bangku kerajaan.
Tiada lagi rundingan dengan DAP - Ab Rauf
Sementara itu, pada sidang media pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini, Ab Rauf berkata kerajaan negeri menutup pintu rundingan bersama semua Adun DAP yang sudah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka, semalam.
Katanya, ia sekali gus menyebabkan permintaan Anwar supaya DAP menangguhkan hasrat berkenaan serta berunding mengenai perkara itu, tidak dapat dipenuhi.
"Kita terima (surat) semalam selepas (mereka mengadakan) sidang media, dia orang terus hantar surat.
“Sebab itu hari ini kalau kita lihat perubahan kerusi (dalam Dewan) itu (dibuat) apabila kita menerima surat rasmi peletakan jawatan dan pengunduran dalam kerajaan, diterima pada kadar segera,” katanya.

Pada sidang media itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri mengambil pendirian untuk `tunggu dan lihat' terhadap sebarang keputusan Pakatan Harapan (PH) susulan mesyuarat gabungan itu yang dijadualkan esok bagi membincangkan hubungan kerjasama dengan BN.
Sebelum ini, pengerusi PH Melaka yang juga Adun Bukit Katil, Adly Zahari memaklumkan gabungan parti itu akan bermesyuarat esok bagi menentukan hala tuju kerjasama antara PH dan BN di Melaka.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pihaknya menghormati keputusan Adun DAP, namun tiada lagi ruang untuk sebarang rundingan.
"Kita tunggu dan lihat. Saya tidak berani hendak cakap apa yang akan diputuskan esok, tetapi berdasarkan tindakan DAP yang mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan kerajaan ini, kita sudah menerima keputusan itu.
“Jadi, macam mana pula hendak berunding," katanya lagi sambil menambah bahawa hubungan baik dan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara.

"Apa yang paling utama sekarang ialah memastikan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar. Saya memberikan jaminan kepada seluruh rakyat Melaka, penjawat awam, komuniti perniagaan, pelabur dan semua pihak berkepentingan bahawa urusan pentadbiran kerajaan negeri akan diteruskan seperti biasa.
"Kita akan terus bekerja dengan lebih kuat, tersusun dan berfokus bagi memastikan amanah rakyat dapat dilaksanakan sehingga selesai. Sebarang keputusan berkaitan penyusunan semula pentadbiran negeri akan dibuat secara teliti, berhemah dan berdasarkan kepentingan pentadbiran serta rakyat, bukan kerana tekanan politik atau tindakan yang terburu-buru," katanya lagi.
