Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL perkenal 16 inisiatif reformasi, hadkan kuasa datuk bandar
Diterbitkan:  Jul 16, 2026 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

PARLIMEN l Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan 16 inisiatif reformasi tadbir urus dan tatakelola dalam tempoh enam bulan ini, selepas mencatat skor rendah bagi Ranking Rasuah dalam Perkhidmatan Awam di bawah Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata DBKL hanya memperoleh 0.08 peratus daripada lima peratus markah yang ditetapkan, sekali gus mendorong pihak berkuasa tempatan itu mengambil langkah drastik menyedari realiti skor yang diperoleh tersebut.

Dia berkata berdasarkan dapatan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas sesi libat urus bersama anggota parlimen Kuala Lumpur pada 2 Mac, empat syor utama dikenal pasti bagi memperkukuh pentadbiran, tadbir urus, integriti serta sistem penyampaian perkhidmatan DBKL.

Anggota parlimen Segambut itu berkata antaranya ialah mengambil tindakan terhadap lima kelemahan prosedur yang dikenal pasti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia adalah pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran studio radio, pengurusan dan pengagihan tapak Bazar Ramadan, pengurusan dan pemantauan kontrak pelaksanaan perkhidmatan pengurusan pelbagai lesen perniagaan, tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia, dan pengurusan kutipan sewa projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam oleh DBKL.

“Selain itu, kita juga memansuhkan Jawatankuasa Pusat Khidmat Setempat (OSC) Khas bagi memastikan pengasingan kuasa dan mengelakkan campur tangan politik dalam proses serta keputusan pembangunan,” katanya menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai senarai reformasi tatakelola DBKL pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Hannah berkata akses kepada Portal OSC 3.0 Plus juga kini dibuka kepada semua anggota parlimen Kuala Lumpur bagi membolehkan mereka meneliti permohonan pembangunan dan mengemukakan pandangan kepada datuk bandar sebelum sebarang kelulusan diberikan.

Dia berkata DBKL turut mengehadkan kuasa kelulusan sumbangan oleh datuk bandar kepada maksimum RM3,000, manakala permohonan melebihi jumlah itu perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi.

Hannah berkata beberapa jawatankuasa baharu termasuk Jawatankuasa Audit, Jawatankuasa Tata Kelola dan Integriti serta Jawatankuasa Sumbangan Datuk Bandar turut ditubuhkan bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta mengelakkan konflik kepentingan.

Menjawab soalan tambahan Tan, Hannah berkata reformasi itu bertujuan mengubah budaya membuat keputusan di DBKL daripada model yang tertumpu kepada individu kepada sistem berasaskan tadbir urus yang baik, keputusan secara kolektif dan integriti.

Sementara itu, dia berkata Jawatankuasa Audit kini tidak lagi dipengerusikan oleh datuk bandar, selain DBKL melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai yang memegang jawatan sensitif, memperkenalkan penggunaan kamera badan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini serta memperluaskan pendigitalan perkhidmatan.

“Sebanyak 170 perkhidmatan permohonan dalam talian diwujudkan hingga Julai ini dan DBKL menyasarkan 180 perkhidmatan secara end-to-end menjelang akhir tahun bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih telus, cepat dan tepat. Menjelang 2030, semua permohonan dilaksanakan secara dalam talian.

“Dengan adanya sistem e-Lesen, kita tidak perlu bergantung kepada runners lagi dan kita juga mengintegrasikan e-Lesen dan SPJ (Sistem Penguatkuasaan Jabatan). Menerusi pembaharuan tempoh lesen dilaksanakan bermula 1 Julai ini, kita panjangkan tempoh lesen kepada tiga tahun untuk memastikan semua pemegang lesen boleh berurusan dengan senang dengan DBKL,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS