Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ACHR dedah helah Israel, perkenal istilah 'wholocide' buru penjenayah perang
Diterbitkan:  Jul 16, 2026 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Jawatankuasa Tetap Arab untuk Hak Asasi Manusia (ACHR) menyeru pada Rabu supaya perkataan Arab "ahwal" (kengerian) dan perkataan bahasa asing “wholocide” (pembunuhan keseluruhan) diterima pakai sebagai istilah untuk pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Semenanjung Gaza oleh Israel.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (Wafa), ACHR membuat gesaan itu pada penghujung sesi ke-58 jawatankuasa berkenaan, sebagai sebahagian daripada usaha Arab untuk memelihara ingatan kolektif Arab dan meningkatkan kesedaran tentang skala bencana kemanusiaan yang ditimpakan ke atas rakyat Palestin.

Ia turut menyeru dokumentasi jenayah teruk Israel bagi melindungi hak-hak mangsa untuk keadilan, pembetulan dan ingatan serta memastikan pelaku tidak diberikan pelepasan sewenang-wenangnya.

Wakil Tetap Negara Palestin ke Liga Negara Arab, Mohannad Al-Aklouk, menyatakan bahawa penggunaan istilah itu mencerminkan gesaan anggota ACHR untuk menubuhkan hari peringatan tahunan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Dia menjelaskan inisiatif itu dijalankan selama dua setengah tahun sebelum memuncak dengan penetapan 17 Okt sebagai hari tahunan untuk memperingati mangsa "ahwal" dan untuk memburu pelakunya menerusi semua mekanisme undang-undang nasional, serantau dan antarabangsa sedia ada.

Dia berkata tarikh itu menandakan pembunuhan lebih 700 rakyat Palestin dalam tempoh kurang 24 jam, termasuk mangsa pembunuhan beramai-ramai di Hospital Al-Ahli Arab (Hospital Baptist) di Bandar Gaza, serta pembunuhan beramai-ramai lain di bandar itu.

Al-Aklouk berkata istilah “ahwal” dan “wholocide” diilhamkan oleh kata-kata dan penderitaan mangsa pembunuhan beramai-ramai itu sendiri, dengan menyatakan bahawa ramai mangsa yang terselamat dan saksi menggambarkan apa yang mereka alami sebagai "kengerian hari penghakiman" susulan kekejaman pasukan pendudukan Israel.

Dia berkata perkataan yang diperoleh daripada gambaran manusia secara spontan itu menjadi bukti yang berkekalan kepada magnitud dan kekejaman jenayah serta kezaliman pelakunya.

Dia menyeru organisasi hak asasi manusia, institusi pendidikan, universiti, pusat penyelidikan dan kebudayaan, saluran media, artis, penulis blog, pengguna media sosial dan pempengaruh awam yang lain untuk menerima pakai istilah itu dalam aktiviti, penerbitan, penyelidikan akademik dan karya budaya mereka.

Katanya ini akan membantu memelihara ingatan mangsa pembunuhan beramai-ramai, menghormati mereka yang terbunuh dan menjaga memori negara dan manusia tentang jenayah yang tidak akan dipadamkan oleh peredaran masa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS