Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob melihat pengagihan kerusi awal antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai isyarat positif bahawa kerjasama kedua-dua gabungan itu mampu bertahan untuk jangka masa panjang.
Mengulas pengumuman BN untuk bertanding di hanya 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut, Ismail Sabri menyifatkan perkembangan itu selari dengan konsep 'Rumah Bangsa' yang diilhamkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya melihat pengumuman semalam sebagai satu pembaharuan dalam hubungan BN dan PN... menandakan pendekatan itu semakin diterima,” katanya kepada wartawan di Subang Jaya, hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu turut menzahirkan harapan agar formula kerjasama tersebut dapat dikekalkan bukan sahaja untuk mendepani pilihan raya negeri, malah diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"Saya percaya sekiranya hubungan antara BN dan PN kekal, ia akan membawa banyak kebaikan pada masa hadapan di seluruh Malaysia.
"Justeru saya mengharapkan hubungan itu terus kekal dan tidak berpecah sehingga pilihan raya akan datang," katanya lagi.
Enggan ulas strategi kerusi
Malam tadi, BN mengumumkan senarai calon bagi 25 kerusi DUN untuk PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 1 Ogos ini, manakala baki 11 lagi kerusi masih dalam proses rundingan akhir.
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan yang membuat pengumuman itu berkata, BN tidak akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN kerana gabungan itu ada “kerjasama dengan rakan yang boleh dipercayai”.
“Tapi jangan risau, kita tak ada persefahaman dengan Linggi.
“Kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai, insya-Allah,”katanya.

Dia dipercayai merujuk kepada Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang berpindah kerusi dari DUN Sikamat ke DUN Linggi.
Pengumuman itu sekali gus menguatkan desas desus bahawa BN mungkin akan mengadakan kerjasama politik dengan PN, khususnya PAS dan Wawasan di Negeri Sembilan.
Daripada 36 kerusi DUN, Umno akan mempertahankan kesemua 14 kerusi yang dimilikinya.
MCA pula akan bertanding di tujuh kerusi, manakala MIC bertanding dua kerusi.
Bagaimanapun, Ismail Sabri enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai perincian strategi pembahagian kerusi tersebut, dengan alasan dia tidak lagi berada dalam saf kepimpinan tertinggi parti.
"Saya tidak boleh jawab bagi pihak parti. Saya bukan presiden parti atau pemimpin tertinggi.
“Saya hanya Ketua Bahagian Bera (Umno), jadi saya tidak sesuai mengulas perkara berkaitan strategi dan pembahagian kerusi," kata bekas naib presiden Umno itu ringkas.
