Pengurus Kewangan KCJ Engineering Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia diarahkan pengarah urusan syarikat itu, Azman Yusoff untuk menyediakan empat keping cek berjumlah RM800,000 kepada Bersatu.
Saksi pendakwaan ke-19 Zuriedah Deres @ Musa, 49, berkata Azman memaklumkan kepadanya bahawa cek-cek berkenaan adalah sumbangan berkaitan Projek Jana Wibawa yang dianugerahkan kepada KCJ Engineering, namun dia tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai projek itu.
"Seingat saya pada tarikh 1 Sept 2022, Azman ada berjumpa dengan saya di Pejabat KCJ Engineering di Bukit Jelutong Industrial Park, Shah Alam, Selangor dan mengarahkan saya untuk menyediakan cek bagi tujuan sumbangan kepada Bersatu sebanyak RM800,000.
"Saya sahkan saya ada menyediakan empat keping cek bertarikh 1 Sept 2022 dengan nilai setiap cek adalah sebanyak RM200,000.Saya sahkan saya ada membuat cetakan bertulis atas keempat-empat cek tersebut, yang menyatakan bayaran adalah kepada Bersatu.Saya sahkan keempat-empat cek adalah cek Maybank Islamic dan pengeluaran wangnya adalah daripada akaun Bank Maybank Islamic KCJ Engineering," katanya.
Dia berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Zuriedah turut mengesahkan selepas dia menyediakan empat keping cek itu, dia berjumpa dengan Mohd Zaid Yusoff dan Zulhelmi Mairin bagi mendapatkan tandatangan mereka serta menerangkan kepada mereka bahawa tujuan cek ini dikeluarkan adalah atas arahan Azman yang ingin membuat sumbangan RM800,000 kepada Bersatu.
"Setelah empat keping cek ditandatangani oleh Mohd Zaid dan Zulhelmi Mairin, saya menyerahkan keempat-empat cek tersebut pada hari yang sama kepada Azman.Saya sahkan saya tidak berurusan dengan mana-mana pihak daripada Bersatu kerana setelah saya menyerahkan keempat-empat cek itu kepada Azman dan dia yang menguruskan tindakan selanjutnya mengenai keempat-empat cek tersebut.
"Saya sahkan sebelum daripada tarikh 1 Sept 2022 dan selepas daripada itu, saya tidak pernah menerima arahan daripada Azman untuk menyediakan apa-apa bentuk sumbangan kepada Bersatu," katanya.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal, mengenai siapakah individu bernama Mohd Zaid Yusoff dan Zulhelmi Mairin dan Zuriedah menjawab mereka adalah antara pengarah di KCJ Engineering, yang ada pada hari tersebut (1 Sept 2022).
Zuriedah berkata Mohd Zaid dan Zulhelmi hanya boleh menandatangani cek yang berjumlah tidak lebih daripada RM200,000, namun sekiranya cek melebihi daripada RM200,000 ia mesti mempunyai tandatangan daripada Tengku Sarah akan tetapi dia berada di luar kawasan pada masa itu.
Disoal Wan Nur Iman mengenai siapakah individu Tengku Sarah dan Zuriedah berkata Tengku Sarah adalah seorang daripada pemegang saham di KCJ Engineering pada ketika itu.
Zuriedah berkata sepanjang dia berkhidmat di Bahagian Kewangan KCJ Engineering, bermula penghujung 2019 saksi itu tidak pernah menyediakan atau mengarahkan pekerja di bawah pemantauan dia untuk menyediakan cek-cek sumbangan kepada mana-mana parti politik yang lain selain daripada Bersatu.
Disoal Wan Nur Iman, sama ada saksi itu pernah menyediakan cek selain Bersatu dan Zuriedah menjawab "Ini kali pertama saya sediakan cek kepada parti politik.
Wan Nur Iman: Apa prosedur biasa cek untuk sumbang? dan Zuriedah menjawab 'selalu Azman memanggil saya dan akan memberikan arahan untuk saya keluarkan cek kepada sesiapa yang dikehendaki'.
Saksi itu berkata sepanjang dia berkhidmat di KCJ Engineering, dia juga tidak pernah menerima arahan daripada Azman untuk menyediakan cek-cek sumbangan kepada mana-mana parti politik yang lain selain Bersatu.
"Dalam pengetahuan saya, selain daripada Bersatu, KCJ Engineering juga pernah membuat sumbangan dengan menggunakan cek kepada beberapa NGO-NGO di Malaysia ataupun di sekolah-sekolah yang pernah memohon sumbangan daripada KCJ Engineering," katanya.
Zurieda berkata arahan diterima daripada Azman tersebut bukan satu arahan yang menimbulkan keraguan tetapi ia adalah arahan biasa yang diterima, memandangkan KCJ Engineering selalu membuat sumbangan menggunakan cek kepada beberapa NGO, masjid, sekolah dan lain-lain yang pernah memohon sumbangan daripada syarikat tersebut.
Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin bahawa dia tidak boleh menafikan KCJ Engineering ada memberi sumbangan kepada parti politik lain.
Kepada soalan Amer Hamzah sama ada Zurieda bersetuju Azman atau KCJ Engineering ada membuat sumbangan secara tunai dan saksi itu menjawab betul.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan fyra pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Anggota Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.
- Bernama
