Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KWAP rugi RM200 juta: Kerajaan digesa bentang laporan pelaburan eFishery
Diterbitkan:  Jul 17, 2026 12:40 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Kerajaan disaran membentangkan laporan menyeluruh kepada Parlimen mengenai pelaburan dalam syarikat eFishery yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM200 juta kepada dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Omar Mustapha berkata, kerugian RM200 juta itu bukan sekadar angka dalam laporan kewangan, sebaliknya membabitkan wang persaraan penjawat awam yang diamanahkan kepada negara.

"Parti Wawasan Negara berpandangan bahawa Kerajaan wajar membentangkan kepada Parlimen pada persidangan bulan Oktober ini suatu laporan menyeluruh mengenai pelaburan eFishery, termasuk proses kelulusan, penilaian risiko, dapatan semakan dalaman, status pemulihan aset serta pembaharuan yang telah dilaksanakan.

"RM200 juta bukan sekadar angka dalam laporan kewangan. Ia ialah wang persaraan penjawat awam yang diamanahkan kepada negara.

"Dalam mengurus amanah sebesar ini, prosedur adalah perlu, tetapi prosedur sahaja tidak memadai. Yang akhirnya menentukan keyakinan rakyat ialah sama ada wujud ketelusan, akauntabiliti dan kesediaan untuk mempertanggungjawabkan setiap keputusan yang melibatkan wang persaraan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan KWAP kerugian kira-kira RM200 juta selepas diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan oleh sebuah syarikat pemula akuakultur di Indonesia, eFishery.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, keputusan pelaburan itu telah dibuat mengikut proses penilaian dan tadbir urus yang ketat berdasarkan maklumat yang tersedia pada ketika itu.

Malah katanya, maklumat berkenaan turut merangkumi pengesahan penyata kewangan oleh juruaudit antarabangsa yang bertauliah.

"Pada masa sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar (due diligence) bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Sementara itu, Omar berkata dalam mana-mana sistem tadbir urus yang baik, penipuan mungkin menjelaskan bagaimana sesuatu kerugian berlaku.

Menurutnya pelaburan bernilai AS$47.7 juta itu dibuat pada Julai 2023 ketika portfolio Menteri Kewangan dipegang sendiri oleh Perdana Menteri.

"Tiada siapa mengatakan Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap penipuan yang dilakukan oleh pengurusan eFishery.

"Namun sebagai Menteri Kewangan ketika keputusan pelaburan dibuat, beliau bertanggungjawab sebagai menteri memastikan institusi di bawah kementeriannya mempunyai sistem tadbir urus, pengurusan risiko dan pengawasan yang benar-benar berkesan.

"Oleh itu, rakyat berhak mendapat jawapan yang lebih menyeluruh daripada sekadar kenyataan bahawa semua prosedur telah dipatuhi," tambahnya lagi.

Dakwaan penyelewengan dalam eFishery

Bulan lalu, eFishery dilapor menggantung tugas Ketua Pegawai Eksekutif, Gibran Huzaifah dan Ketua Pegawai Produknya, Chrisna Aditya sementara menunggu siasatan terhadap dakwaan penyelewengan kewangan dalam syarikat itu.

Gibran dan Chrisna, masing-masing memegang kira-kira sembilan peratus saham syarikat itu.

Selasa lalu, Bloomberg melaporkan siasatan awal yang sedang dijalankan terhadap syarikat pemula agriteknologi itu menganggarkan syarikat tersebut mungkin telah melaporkan hasil pendapatan yang lebih tinggi hampir AS$600 juta dalam tempoh sembilan bulan hingga September tahun lepas.

Siasatan yang diarahkan oleh lembaga pengarah syarikat itu turut mendapati syarikat pemula tersebut telah membentangkan keuntungan sebanyak AS$16 juta kepada pelabur bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024 yang sebenarnya mencatatkan kerugian sebanyak AS$35.4 juta.

eFishery diasaskan bersama oleh Gibran dan Chrisna pada 2013 dan telah berkembang sehingga mencapai penilaian sebanyak AS$1.4 bilion.

Pada 2023, syarikat itu dilaporkan memperoleh AS$200 juta daripada pusingan Series D Funding, menjadikannya unicorn terbaharu Indonesia.

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$47.7 juta (RM200 juta) adalah daripada KWAP, menurut DealStreetAsia.

Jumlah itu adalah sebagai tambahan kepada pelaburan daripada pihak lain seperti SoftBank Group Corp dari Jepun, Temasek dari Singapura dan pemegang saham terbesar eFishery, Aqua-Spark.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS