Bersatu hari ini mengumumkan akan bertanding di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk dua calon daripada Parti Urimai, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menggunakan logo parti itu sendiri.
Presidennya, Muhyiddin Yassin, berkata keputusan bertanding menggunakan logo Bersatu mencerminkan tahap kematangan parti yang kini diiktiraf sebagai antara parti paling berpengaruh di negara ini.
"Guna logo sendiri bermakna Bersatu sudah datang ke satu peringkat kematangan. Dengan diiktiraf sebagai salah satu parti yang amat berpengaruh di Malaysia, mempunyai 700,000 ahli, 400 cawangan seluruh negara, dan 186 bahagian seluruh Malaysia.
"Pertubuhan Bersatu adalah atas asas-asas bersama dengan objektif berteraskan kepada integriti, maruah, adil, dan saksama dalam memperjuangkan isu-isu penting rakyat tanpa mengira agama serta bangsa.
"Sebab itu kami mengambil pendirian untuk bertanding atas logo Bersatu sendiri. Ada yang kata tanding secara solo risiko...so what? Tanding bawa logo PN pun ada risiko juga. Jadi kita buat keputusan tepat tanding di bawah logo sendiri," katanya ketika mengumumkan senarai calon Bersatu di Nilai, hari ini.

Keputusan Bersatu bertanding hanya 24 kerusi dilihat bagi mengelakkan pertembungan di 12 kerusi yang dianggap kubu kuat BN dan PH, iaitu Chennah, Bahau, Lobak, Pilah, Johol, Bukit Kepayang, Chembong, Rantau, Chuah, Lukut, Gemencheh dan Repah
Sebelum ini, PAS secara rasmi telah mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Situasi itu memaksa Bersatu membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo sendiri.
Tun Faisal antara 24 calon taruhan
Antara nama besar yang dipertaruhkan adalah bekas pengarah Jasa, Tun Faisal yang bertanding di DUN Sikamat dan bakal berdepan calon parti Wawasan (PN) Razali Abu Samah.

Faisal kini merupakan Ketua Penerangan Bersatu mempunyai pengalaman politik yang panjang bersama Umno.
Selain itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merangkap Ahli Lembaga Pengarah MARA Corporation Megat D Shahriman Zaharudin bertanding di DUN Seri Menanti.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker mempertahankan kerusi DUN Labu.
Bertembung dengan PN di 8 kerusi
Langkah Bersatu bertanding secara solo mencetuskan pertembungan langsung yang tidak dapat dielakkan dengan rakan komponen lamanya dalam PN.
Berdasarkan senarai penuh pencalonan setakat ini, kedua-dua pihak bakal bertembung di sekurang-kurangnya lapan kerusi DUN yang menjadi tumpuan bagi PRN kali ini.
Di DUN Klawang, Muhammad Adib bin Musa (Bersatu) akan berdepan Danni Rais (Wawasan), manakala di DUN Serting, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (Bersatu) dicabar oleh Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa (PAS).

Di DUN Ampangan menyaksikan persaingan antara Noor'azah binti Harun (Bersatu) dengan bekas ADUN kawasan itu, Dr. Mohd Rafie Ab Malek (PAS).
Selain itu, empat lagi kawasan yang menyaksikan pertembungan terus ialah di DUN Mambau yang menampilkan Sarawanan Nagayah (Urimai) menentang Erik Michael (Wawasan), DUN Paroi menampilkan Mohd Nazree Yunus (Bersatu) berdepan Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PAS).
DUN Bagan Pinang menyaksikan Sheikh Junaidy bin Jamaludin (Bersatu) ditentang Abdul Fatah Zakaria (PAS), dan DUN Gemas yang mempertemukan Mohd Fadhil Daud (Bersatu) dengan Ridzuan Ahmad (Wawasan) yang merupakan penyandang kerusi itu mewakili Bersatu pada PRN yang lalu.
Situasi itu menyaksikan Bersatu bertanding kesemua empat kerusi ditandingi Wawasan yang kini diterajui bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainuddin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu, 18 Julai 2026, manakala hari undi awal pada Selasa, 28 Julai 2026, dan hari mengundi ditetapkan pada Sabtu, 1 Ogos 2026.
PRN kali ini menyaksikan seramai 864,425 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan layak menguundi bagi memilih wakil rakyat baru di 36 kawasan DUN di negeri berkenaan.
