ULASAN SUKAN | Segala keringat yang menitis dari tubuh pemain Argentina dan Sepanyol ternyata berbaloi apabila kedua-dua pasukan itu berjaya melakar kejayaan melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia kali ini.
Jaguh dunia dan juara Eropah itu menepati status besar yang didukung masing-masing untuk menjelmakan satu ‘pertarungan epik’ di Stadium MetLife, New York, awal pagi Isnin nanti.
Apa yang pasti, perlawanan penuh dengan segala kualiti serta barisan bintang itu nanti harus menghiburkan tontonan sedunia. Kedua-dua pasukan dijangka akan mengamalkan corak permainan berorientasikan serangan.
Itu adalah mengenai falsafah bola sepak masing-masing. Bererti kita boleh melihat aliran bola lebih kerap terarah ke gawang lawan berbanding tolakan ke belakang.
Dalam saingan separuh akhir pada awal pagi Rabu, Argentina yang juga juara bertahan bangkit secara dramatik pada lewat babak pemainan untuk menewaskan England 2-1 manakala Sepanyol menghampakan juara 2018, Perancis, dengan kemenangan 2-0 pada Selasa.
Tatkala kedua-dua finalis itu bersiap siaga merancang bagi memburu mahkota kejuaraan, dua pasukan yang kalah – England dan Perancis – masih ada sedikit penawar duka untuk dibawa pulang nanti.
Perancis dan England akan bertembung dalam perlawanan merebut pingat gangsa pada awal pagi Ahad ini. Namun, skuad Le Bleus mungkin sukar menerima hakikat itu selepas menjadi naib juara pada edisi 2022 di Qatar.
Aksi kelompok empat terakhir kali ini boleh dikatakan seimbang dari segi kekuatan pasukan dan kualiti pemain. Garis pemisahnya pun amat halus. Cuma sedikit kesilapan boleh menjadi hukuman yang perit untuk ditanggung pihak yang kalah.
Dua umpanan julang Argentina
Dalam ukuran ini, Argentina dan Sepanyol adalah dua pasukan yang melakukan kesilapan paling kecil. Elemen tuah juga mengiringi cabaran masing-masing.
Lionel Messi, 39, masih menjadi penentu penting kejayaan Argentina. Kapten pasukan La Albiceleste itu boleh membuat pemain lebih muda terasa cemburu.
Tidak dinafikan kebangkitan dramatik skuad itu selepas ketinggalan 0-1 hasil jaringan Anthony Gordon pada minit ke-55 ada kaitan dengan sumbangan besar penyerang licik yang berasal dari Rosario itu.
Messi mungkin hampa kerana tidak tidak dapat menambahkan bilangan jaringan peribadinya setakat ini. Namun, itu bukan misi yang terbayang pada wajah Messi ketika menentang skuad The Three Lions tempoh hari.

Dua bantuan hantaran kemas pada babak kedua berjaya membantu kelangsungan pasukan Argentina layak ke final sekali lagi.
Pertama, Messi mengumpan bola untuk membolehkan Enzo Fernandez membuat rembatan padu pada minit ke-85. Kemudian, ayam tambatan pasukan itu membuat satu umpanan tepat ke arah Lautaro Martinez yang tampil menanduk kemas gol kedua sekali gus jaringan kemenangan pada minit ke-92.
England pula pasti hampa kerana mereka melepaskan peluang terbaik untuk merangkul tiket ke final.
Sehingga gol pembukaan mereka, skuad The Three Lions itu bermain mantap, termasuk mengunci baik pergerakan Messi.
Namun, selepas itu, entah kenapa mereka mengamalkan corak permainan bertahan sedangkan sepatutnya Harry Kane dan pasukannya pasti memahami bahawa lawan mereka itu amat lincah dalam serangan bertali arus.
England tenggelam dalam cabaran yang sebaliknya menyaksikan Argentina mendapat banyak ruang untuk membuat gempuran.
Perancis lebih diyakini
Kesimpulannya Messi dan rakan sepasukan lebih menzahirkan dahaga kemenangan berbanding England pada hari penentuan itu.
Ada macam-macam pandangan dan persepsi diutarakan oleh pemerhati dan pengkritik kenapa anak didik Thomas Tuchel masih belum dapat mencari ilham memburu mahkota kejuaraan selepas 60 tahun.
Apakah ia kesilapan percaturan oleh Tuchel atau pemain sendiri?
Impian It’s coming home akan tetap terapung-apung di udara England. Tetapi selepas kalah kepada Argentina, jangan pula ada yang mengusik dan mengubah impian itu kepada “Is it coming home?”
Bagi Argentina, jika berjaya menjulang trofi emas itu nanti, bererti mereka akan menjadi pasukan ketiga dalam sejarah kejohanan untuk memenangi gelaran dua kali berturut-turut. Pencapaian terdahulu dirakamkan oleh Itali (pada 1934 dan 1938) dan Brazil (1958, 1962).
Sepanyol pula – yang agak low profile pada permulaan kejohanan kali ini – berjaya menamatkan kemarau 16 tahun tanpa aksi final sejak muncul juara buat julung kali semasa Piala Dunia 2010.
Pada 11 Julai tahun itu, La Roja menewaskan Belanda 1-0 menerusi jaringan Andres Iniesta di Stadium Soccer City di Johannesburg, Afrika Selatan.
Semangat sama akan menyala semula selepas anak didik Luis de la Fuentes mendapat keyakinan baru gara-gara menumpaskan Perancis tempoh hari.

Tiada siapa berani membuat pertaruhan ke atas Sepanyol walaupun mereka hadir dengan status selaku juara Euro 2024. Begitu juga kehadiran pemain sensasi, Lamine Yamal.
Sebaliknya, Les Bleus pimpinan Didier Deschamps menjadi pilihan utama majoriti media antarabangsa untuk layak ke final buat kali ketiga berturut-turut sejak 2018.
Nama seperti Kylian Mbappe, Ousmane Demebele dan Michael Olise lebih menjadi tarikan atas statistik dan reputasi masing-masing dalam edisi kali ini.
Tapi apa sudah terjadi sekarang? Inilah apa yang kerap disebut-sebut bahawa ‘bola itu bulat’.
Apa pun, cerita lebih menarik ialah Sepanyol akan turun ke gelanggang pada awal pagi Isnin ini untuk memburu gelaran kedua manakala Argentina mahu menambahkan koleksi pingat kejuaraan buat kali keempat.

Kedua-dua finalis itu ada segala ramuan yang diperlukan untuk menyajikan persembahan berkualiti pada perlawanan ke-104 edisi kali ini.
Sepanyol yang diketuai oleh Rodri – atau nama sebenarnya Rodrigo Hernandez – serta di pihak Argentina – Messi dan rakan-rakannya – tentu betapa nikmatnya dapat hadir untuk menyempurnakan halangan terakhir ini.
Kedua-dua pasukan pasti mahu menjelmakan aksi terbaik dengan permainan bersih untuk menghadiahkan penonton satu pertarungan bola sepak yang tulen untuk dikenang.
V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
