Kerajaan negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu melibatkan Network School di Forest City dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa jika siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran, tindakan tegas akan diambil, termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di negeri ini.
"Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan siasatan terperinci," titah Tunku Mahkota Ismail dalam satu hantaran di Facebook rasmi baginda semalam.
Terdahulu semalam, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah mengeluarkan "Notis Henti Perniagaan" terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, yang dikaitkan dengan operasi Network School di Forest City.
Onn juga berkata satu Notis Lesen Iklan (6103) yang berasingan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana memaparkan papan tanda yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dan tidak konsisten dengan kelulusan yang diberikan.
“Kerajaan negeri menegaskan bahawa MBIP akan terus menyiasat semua perkara di bawah bidang kuasanya.
“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, syarat pelesenan atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut undang-undang,” katanya.
Bernama melaporkan tindakan tersebut diambil selepas syarikat berkenaan gagal mematuhi syarat lesen perniagaannya dan syarat penggunaan premis yang dibenarkan.
Ia juga didapati menyalahgunakan pejabat pentadbiran sebagai ruang untuk aktiviti pendidikan.
Pemeriksaan mendapati syarikat itu beroperasi di dua premis. Satu mempunyai lesen pejabat pentadbiran yang sah, manakala sebuah lagi beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun premis tersebut dimiliki oleh seorang warganegara Malaysia.
Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial yang mengaitkan kehadiran Network School di Forest City dengan dakwaan agenda Israel untuk mewujudkan tapak rahsia di negara ini melalui pelaburan mata wang kripto.
Pada Khamis, pengasas Network School yang juga pelabur teknologi Amerika, Balaji Srinivasan berkata bahawa satu pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah perlu bagi membincangkan “jalan penyelesaian” susulan siasatan baru-baru ini.
Kerajaan Johor sebelum ini telah meminta pihak berkuasa menyiasat komuniti kediaman persendirian dan ruang kerja bersama (co-working) itu berikutan dakwaan bahawa warga Israel yang mempunyai dwi-kerakyatan tinggal di sana.
