Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin, penyokong riuhkan hari penamaan calon PRN N Sembilan
Diterbitkan:  Jul 18, 2026 1:05 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

PRN NEGERI SEMBILAN | Para pemimpin gabungan hadir beramai-ramai untuk calon parti mereka yang bertanding di 36 kerusi pada hari penamaan calon hari ini untuk pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, dengan lapan pusat dibuka dari 9 pagi hingga 10 pagi.

Di Port Dickson, menteri besar sementara Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, tiba di pusat penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson sekitar jam 8.30 pagi, menurut Bernama.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, yang akan bertanding di kerusi DUN Linggi, diiringi oleh Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dan setiausaha politik perdana menteri, Farhan Fauzi.

Turut memfailkan pencalonan mereka di Port Dickson ialah tiga penyandang PH - Yew Boon Lye (Chuah), Choo Ken Hwa (Lukut) dan Dr G Rajassekaran (Sri Tanjung).

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Zambry Kadir, mengiringi Faizal Ramli, yang bertanding di kerusi DUN Linggi.

Di Jelebu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memfailkan kertas pencalonannya untuk kerusi DUN Chennah selepas tiba di pusat pencalonan di Dewan Besar Kuala Klawang pada jam 8.30 pagi.

Menteri pengangkutan itu diiringi oleh Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, Penasihat DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Pengerusi Parti Wawasan Negara, Rais Yatim, turut dilihat hadir bersama anaknya, Danni Rais, yang bertanding di kerusi Klawang.

Di Jempol, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, mengiringi empat calon PH di dewan utama Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.

Empat calon PH terdiri daripada penyandang Bahau Teo Kok Seong dan tiga pendatang baru - Yaacob Mahmood (Serting), Muhammad Zahin Zinal Abidin (Palong) dan Manivanan Gowin (Jeram Padang).

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengiringi calon parti itu, Mohd Fairuz Mohd Isa, yang bertanding di kerusi DUN Serting.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengiringi tiga calon BN - Mustapha Nagoor, Mohd Zaidy Abdul Kadir dan Chong Fui Ming - masing-masing bertanding di kerusi DUN Palong, Jeram Padang dan Bahau.

Presiden Parti Orang Asli Malaysia (Asli) Rashid Ka menemani calon parti mereka, Dayana Dal, yang bertanding di kerusi Jeram Padang.

Di Seremban, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim tiba di pusat penamaan calon di Wisma Majlis Bandaraya Seremban pada 8.30 pagi untuk mengiringi enam calon PH bagi Lenggeng, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat dan Ampangan.

Pemimpin lain yang hadir termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Naib Presiden PKR R Ramanan.

Pemimpin Bersatu termasuk timbalan presiden Radzi Jidin dan bekas ketua Wanita Rina Harun juga dilihat hadir menyokong Ketua Bersatu Negeri Sembilan Hanifah Abu Baker, yang mempertahankan kerusi Labu, kali ini menggunakan logo parti itu sendiri.

Pemimpin Bersatu juga menyokong calin Urimai Mahendran Ramasamy yang bertanding bagi kerusi Seremban Jaya.

Di Rembau, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengiringi timbalannya, Mohamad Hasan, di pusat penamaan calon Dewan Seri Rembau, di mana penyandang lima penggal itu berhasrat mempertahankan kerusinya di Rantau.

Di Tampin, Naib Presiden Umno Johari Ghani mengiringi Suhaimizan Bizar, yang bertanding di kerusi DUN Gemencheh.

Naib Presiden Wawasan Wan Saiful Wan Jan pula menyertai penyokong calon Gemas, Ridzuan Ahmad.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi pilihan raya negeri Negeri Sembilan, dengan pengundian awal pada 28 Julai.

Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

PH memenangi 17 daripada 36 kerusi pada pilihan raya negeri ke-15 pada 2023, dengan BN meraih 14 dan PN lima.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS