Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak bertindak menebuk atap di Negeri Sembilan.

Sebaliknya, Ahmad Zahid yang ditemui ketika mengiringi Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan ke pusat penamaan calon di Rembau hari ini menegaskan BN akan membuka 'atap' baru di bawah pentadbiran BN di negeri itu.

"Insya Allah Tok Mat (Mohamad) kita tak tebuk atap, kita buka atap baru.

"Kita mahu kembalikan kerajaan negeri kepada BN dan memajukan semula negeri ini,” katanya di hadapan penyokong BN.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Rembau.

Untuk rekod, pada PRN kali ini BN bertanding 25 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

Manakala Perikatan Nasional (PN) melengkapkan 11 lagi kerusi yang ditinggalkan Umno bagi menjayakan kerjasama mereka di Negeri Sembilan.

Pada PRN 2023, BN memasuki gelanggang sebagai rakan sekutu kepada Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya membentuk kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.

Pada PRN itu, PH memenangi 17 kerusi membabitkan PKR, DAP dan Amanah, manakala BN memenangi 14 kerusi dan PN lima kerusi.

Ketika ditemui media, Zahid menegaskan kerjasama dengan PN dalam bentuk persefahaman bukannya perjanjian.

Katanya, persefahaman itu adalah taktikal untuk BN bagi kembali menguasai kerajaan negeri.

"Persefahaman ini cukup penting bagi kita kerana kita dulu hanya mempunyai 14 kerusi dimenangi di bawah BN.Dengan langkah taktikal yang kita lakukan ini, Negeri Sembilan akan kembali ditadbir BN," katanya.

Sementara itu, Mohamad ketika berucap melaungkan keyakinan untuk merampas kembali kerajaan Negeri Sembilan.

"Langkah untuk kita pada 1 Ogos, kita rampas semula kerajaan negeri," katanya ketika berucap di hadapan penyokong BN.

Ketika ditemui media, Mohamad menyeru semua pihak agar tidak menyentuh isu adat ketika berkempen.

"Saya dah terangkan, pesan dan minta supaya dalam masa kempen ini, kita jangan sentuh kepentingan adat.

"Adat perlu kita hormati kerana adat ini dia bersendirian.Jangan kita campur adukkan dalam politik terutamanya semasa kita berkempen," katanya kepada media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS