ULASAN SUKAN | Dua nama besar – Lionel Messi dan Lamine Yamal – disepakati secara mutlak bakal menjadi tarikan mata global pada awal pagi esok apabila temasya Piala Dunia sampai ke kemuncaknya
Perlawanan ke-104 bagi edisi kali ini – di antara Argentina dan Sepanyol – juga ada cerita tersendiri. Misalnya perlawanan penentuan nanti adalah yang pertama buat kedua-dua pasukan selepas 60 tahun.
Tambah menarik, ini adalah final pertama membabitkan juara Eropah dan Amerika Selatan.
Sudah pasti fakta seperti ini turut menjadi sebab kenapa saingan memburu mahkota kejuaraan di Stadium MetLife di New York nanti dijangka ‘meledak’ dengan aksi berkualiti tertinggi, termasuk dengan kelibat pemain kelas papan atas dari kedua-dua pasukan.
Kali terakhir Argentina bertemu Sepanyol ialah pada Piala Dunia 1966 di London. Ketika itu Argentina menewaskan Sepanyol 2-1 dalam saingan Kumpulan 2. Skuad La Albiceleste itu mara ke suku akhir manakala lawan mereka, La Roja, tersingkir apabila gagal melakar kemenangan.
Siapa nampak lebih bersedia dalam mengharungi cabaran final kali ini?

Apakah Sepanyol dengan – dengan kelincahan pemain sensasinya, Lamine Yamal – mampu memaknakan keberadaannya untuk skuad itu membalas dendam 60 tahun lalu? Atau pun Argentina yang dilabel pilihan utama bagi kejohanan ini – dengan sentuhan ajaib Messi – boleh membuat lawan dihukum kekecewaan buat kali kedua.
Kecekapan rakan sepasukan
Menyebut nama dua bintang itu saja pun sudah cukup untuk mencetuskan perang psikologi bagi menyemarakkan semangat penyokong Argentina dan Sepanyol.
Namun, kita juga perlu bersikap adil. Ini kerana rakan sepasukan mereka juga sama-sama menjadi elemen penting dalam merencanakan kemaraan pasukan masing-masing selepas tamat tujuh perlawanan.
Pada sisi Argentina, selain Messi, sumbangan besar Lautaro Martinez, umpamanya, juga menjadi faktor yang besar untuk kemenangan pasukan berkenaan.
Ketangkasan pemain penyerang Inter Milan berusia 28 tahun itu semakin dirasai walaupun hadir selaku pemain gantian. Impaknya besar setiap kali dia masuk ke gelanggang dan mengubah tempo permainan pasukan.

Sebagai contoh dalam saingan separuh akhir ketika menentang England pada Khamis lalu, siri serangan Argentina semakin padu selepas Martinez dibawa masuk menggantikan Nicolas Tagliafico pada minit ke-82.
Pada ketika itu England mendahului 1-0 dan nampak seakan-akan bakal menghampakan Argentina. Namun, Martinez ada muslihat tersendiri dan aliran serangan Argentina yang diatur membuatkan kubu lawan goyah dek tekanan yang berterusan.
Lebih menarik, Martinez juga muncul sebagai wira pasukan dengan gol kemenangan hasil tandukan yang berpunca daripada umpanan Messi untuk mengesahkan kemenangan 2-1.
Begitu juga kelibat Juan Alvarez dan Alexis Mac Allister. Mereka menjadi tonggak pasukan dengan aksi konsisten serta bekerja keras membantu Messi mendapatkan ruang gempuran.
Pada masa sama Sepanyol tidak kurang hebatnya dengan pemain berkualiti dalam kesebelasan pasukan.

Tidak seperti Messi, Yamal bergelut sejak hari pertama kejohanan dan hanya menyumbat satu gol saja setakat ini. Cuma dalam dua perlawanan terakhir kali ini, pemain berusia 19 tahun itu mula menemui sentuhan lamanya.
Itu satu petanda baik.
Apa pun, kepincangan terdahulu itu, khasnya dalam saingan peringkat kumpulan berjaya ditampung baik. Muncul Mikel Oyarzabal mengisi tempat Yamal dengan baik dan hasilnya dia menyumbang lima gol setakat ini, termasuk satu jaringan sepakan penalti ketika menewaskan Perancis 2-0 dalam aksi separuh akhir.
Dani Olmo, Mikel Merino dan kapten pasukan, Rodri, adalah antara tonggak lain yang berjaya mengimbangi kekuatan pasukan dan memantapkan corak permainan skuad mereka yang lebih gemar dengan hantaran-hantaran pendek yang tepat.
Musuh di padang
Jadi, kualiti milik kedua-dua pasukan tersohor itu hanya memberikan mesej betapa pasukan terbabit tidak hanya mengharapkan penyudahan daripada Messi atau Yamal untuk mencari kemenangan.
Bicara final kali ini juga ada perisa tambahan. Hal itu kerana, sebuah foto yang menyaksikan Messi memandikan Yamal yang masih bayi pada 2007 menjadi perhatian ramai khususnya sejak dua hari lalu.

Gambar itu dirakam di bilik persalinan Stadium FC Barcelona sempena program amal yang diilhamkan oleh Unicef dan sebuah akhbar sukan tempatan kira-kira 19 tahun lalu.
Pada hari yang sama, beberapa bintang kelab gergasi Sepanyol turut bergambar dengan kanak-kanak lain yang tinggal di kejiranan berkenaan.
Foto berharga itu dirakamkan oleh jurugambar bebas, Joan Monfort.
Awal pagi nanti, Messi dan bayi itu bertemu lagi. Kali ini sebagai “musuh” di padang.
Sebenarnya ada banyak persamaan di antara Argentina dan Sepanyol dari segi bahasa, budaya dan bola sepak masing-masing.
Mereka pernah berkongsi ikon bola sepak yang sama – pemain legenda, Alfredo di Stefano. Pemain terbabit awalnya menyarung jersi skuad Argentina pada 1947 sebelum bertukar kepada Sepanyol sedekad kemudian.
Begitu juga corak permainan bola sepak kedua-dua pasukan yang hampir sama dari segi gaya serangan dan penguasaan bola.
Selain itu Argentina dan Sepanyol ada kaitan rapat dengan akademi bola sepak FC Barcelona yang membentuk ramai pemain bertaraf bintang untuk kedua-dua pasukan.
Ada satu cerita pernah menyebut Messi hampir mewakili Sepanyol ketika dia berusia 13 tahun. Hal itu kerana dia dipandang sebelah mata saja oleh pihak berkuasa bola sepak Argentina pada mulanya.
Namun, usaha skuad La Roja itu dipintas Argentina akhirnya selepas mereka menyedari penyerang bertubuh kecil itu – yang didik kelab Barcelona –ada potensi besar serta bakat istimewa.
Bayangkan jika hari ini Messi mewakili Sepanyol dan bukan La Albiceleste.
Seperkara lagi, persamaan utama kedua-da pasukan ialah penggunaan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi masing-masing. Maksudnya mereka boleh berkomunikasi lebih lancar walaupun dipisahkan oleh jarak beribu-ribu kilometer merentasi benua.
Tahukah anda, Sepanyol juga pernah menjajah Argentina selama lebih 200 tahun iaitu sejak awal kurun ke-16. Argentina secara rasmi mengumumkan kemerdekaan mereka daripada pemerintahan Sepanyol pada 9 Julai 1816.
Kini perhatian terarah kepada pertembungan epik yang akan berlangsung beberapa jam lagi.
Apa yang pasti, pertembungan akhir nanti tidak mungkin membosankan penonton, termasuk Presiden AS, Donald Trump. Hal ini kerana penonton tentu akan disibukkan oleh pergerakan melihat ke kiri dan kanan padang secara lebih kerap.
Sebabnya, Argentina dan Sepanyol adalah pasukan yang sinonim dengan corak permainan yang sentiasa menyerang.
Selamat berjuang Sepanyol dan Argentina.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
