mk-logo
Berita
Tunku Azizah pelawa Orang Asli Kg Sg Cot tinggal di tanah baginda
Diterbitkan:  Jul 20, 2026 2:23 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap isu pertikaian tanah yang membabitkan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Cot, Maran.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Mej Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya dalam kenyataan memaklumkan baginda sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku dan amat memahami kegusaran serta kesulitan yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Kajian tesis Tunku Azizah

Beliau berkata Tunku Azizah bependapat masyarakat Orang Asli bukan sekadar sebahagian daripada rakyat Pahang, bahkan sentiasa mempunyai tempat yang amat istimewa di hati baginda.

Wakil masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran hadir di kediaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menyuarakan isu mereka.

"Menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan oleh baginda ketika ini, peranan Orang Kita (Orang Asli) adalah mustahak dalam kemajuan negeri sejak dahulu lagi.

“Justeru itu, kesejahteraan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda," katanya.

Dalam masa yang sama, demi perasaan kasih dan rasa tanggungjawab Tunku Azizah dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan penempatan untuk berpindah tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

Beliau berkata baginda turut menegaskan bahawa masyarakat Orang Asli tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka.

"Sekiranya pada masa hadapan tanah milik baginda di Kuala Wau itu dibangunkan, Tengku Ampuan Pahang akan memastikan masyarakat Orang Kita (Orang Asli) yang menetap di situ akan terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan.

“Mereka akan terus dibela dan boleh tinggal di kawasan tersebut," katanya.

Mohamed Zahari memaklumkan baginda bertitah pelawaan ini tidak terhad kepada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran sahaja.

"Mana-mana masyarakat Orang Kita (Orang Asli) yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu juga dipersilakan untuk tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran setelah mendapat perkenan baginda dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa," katanya.

Baginda berharap pelawaan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan.

Pada masa yang sama, baginda menyeru agar semua pihak yang terlibat mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding dengan penuh hikmah dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berhemah serta memelihara kepentingan semua pihak.

Isu membabitkan Orang Asli Kampung Cot Maran turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan akan membincangkan isu pertikaian tanah melibatkan masyarakat terbabit bersama kerajaan negeri memandangkan ia di bawah bidang kuasa negeri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS