Senator DAP Dr A Lingeshwaran mempersoalkan keberkesanan sistem kawalan sempadan Malaysia selepas aktivis antirumah ibadat tanpa izin, Tamim Dahri Abdul Aziz berjaya menyelinap masuk semula ke dalam negara walaupun dalam status buruan.
Lingeshwaran, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 di Dewan Negara hari ini berkata tiada gunanya membincangkan undang-undang keselamatan siber sekiranya masih terdapat kelemahan dalam pengurusan pintu masuk negara.
“Adakah ini berpunca daripada kesilapan manusia atau wujud isu keselamatan siber yang kritikal dalam sistem kawalan sempadan kita?
“Adakah pangkalan data, amaran senarai hitam dan saringan biometrik Jabatan Imigresen telah dikompromi, dimanipulasi oleh pihak dalaman, atau berlaku kegagalan pelayan (server)?
“Tiada gunanya kita membahaskan undang-undang keselamatan siber yang hebat ini jika sistem keselamatan data kita sendiri bermasalah dan gagal diaudit secara bebas.
“Jika seseorang yang berada dalam radar pihak berkuasa (Tamim) boleh memasuki Malaysia dengan begitu mudah, bagaimana pula dengan mereka yang berniat melakukan keganasan atau mengancam keselamatan negara?” soalnya di Dewan Negara hari ini.
Tamim berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan sebuah soolam, iaitu simbol trisula suci dalam kepercayaan penganut Hindu, di bekas tapak sebuah kuil di Langkawi.
Pada 17 Mac, Mahkamah Majistret Langkawi menangguhkan prosiding terhadap Tamim selepas dimaklumkan dia berada di Riyadh, Arab Saudi.
Kemudian, pada 15 Julai Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis memohon notis merah Interpol dikeluarkan terhadap Tamim pada 8 Jun.
Permohonan itu turut merangkumi permintaan supaya pasport suspek dibatalkan.
Bagaimanapun, pada 18 Julai lalu, Tamim berjaya memasuki negara semula sebelum menyerah diri kepada polis Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata Tamim berada di Thailand selama lebih empat bulan dan kemudian dipercayai kembali ke Malaysia melalui laluan haram di sepanjang sempadan Kelantan.
Sehubungan itu, Lingeshwaran bertanya sama ada RUU Jenayah Siber akan mengandungi peruntukan bagi memperkukuh perlindungan terhadap sistem digital kritikal kerajaan, khususnya sistem imigresen.
Dia turut bertanya sama ada RUU itu akan memasukkan keperluan audit keselamatan siber secara berkala, pemantauan masa nyata serta integrasi data antara agensi bagi memastikan kelemahan sedemikian dapat ditangani.
“Saya bukan mahu mencari kesalahan, tetapi rang undang-undang ini bukan sekadar untuk memenuhi konvensyen antarabangsa, sebaliknya merupakan instrumen keselamatan negara.
“Kita mesti menutup semua ruang kelemahan melalui arahan berterusan daripada kementerian berkaitan dan memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab terhadap perkhidmatan digital yang mereka sediakan,” tambahnya.
Pada satu video yang tersebar di media sosial hari ini, Tamim berkata dia pulang dari luar negara untuk membantu kempen seorang calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Tamim berkata dia mahu berkempen untuk calon Sri Tanjung, Islah Wahyudi Zainuddin kerana calon itu satu-satunya calon Melayu-Islam dalam pertandingan lima penjuru bagi kerusi berkenaan.
Empat lagi pencabar Islah, masing-masing calon daripada PH, BN, Bersatu dan seorang lagi calon bebas, berketurunan India.
