Kerajaan Johor digesa menjelaskan langkah melantik timbalan exco buat kali pertama, dengan beberapa pihak membangkitkan kebimbangan mengenai perbelanjaan yang tidak perlu serta peningkatan tekanan terhadap dana awam.
Adun Senai daripada DAP, Wong Bor Yang mendesak kerajaan Johor memperincikan tujuan pewujudan jawatan baru itu, skop tugasnya serta sebarang implikasi kewangan yang timbul.
Merujuk Belanjawan Johor 2026 yang mengunjurkan kerajaan negeri memperoleh hasil RM2.55 bilion, manakala perbelanjaan boleh mencecah RM2.546 bilion, Wong berkata rekod hasil tertinggi itu perlu dinilai dengan mengambil kira paras perbelanjaan yang turut tinggi.
“Rakyat tentunya berharap peningkatan hasil negeri diterjemahkan kepada pentadbiran yang lebih cekap dan perkhidmatan awam yang lebih baik, bukannya penambahan jawatan serta kos pentadbiran,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu hari ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pelantikan 10 timbalan exco yang menurutnya mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pelantikan itu dikatakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan pentadbiran kerajaan negeri dan penyampaian dasar, selaras dengan kerangka “Maju Johor 20Adun30”.
Sebahagian besar individu yang dilantik terdiri daripada Adun Umno, dengan tujuh daripada parti tunjang BN itu, diikuti dua daripada MCA dan seorang daripada MIC.
Lapan Adun Pakatan Harapan — enam daripada DAP serta masing-masing seorang daripada PKR dan Amanah — membentuk blok pembangkang di Johor berbanding 48 kerusi dikuasai BN.

Sementara itu, Wong mengingatkan bahawa meskipun pelantikan sulung itu dikatakan bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri, persepsi awam mungkin melihatnya sebagai “percaturan politik” untuk memberikan jawatan kepada Adun kerajaan.
Dia turut berhujah bahawa kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan pengurangan birokrasi dan kerenah pentadbiran, bukannya mewujudkan jawatan baru yang kuasa serta fungsinya tidak diperincikan dengan jelas dalam perlembagaan negeri.
Menurutnya, keadaan itu hanya akan menimbulkan kekeliruan dari segi bidang kuasa dan menjejaskan kecekapan pentadbiran.
Dia turut menegaskan bahawa pelantikan itu merupakan siri pelantikan politik besar pertama selepas kemenangan besar BN dalam PRN Johor, sekali gus membawa “makna dan implikasi penting” terhadap hala tuju pentadbiran negeri.
‘Bahagi ghanimah’
"Sekiranya selepas ini soalan yang sepatutnya dijawab sendiri oleh exco boleh diserahkan kepada timbalan exco untuk menjawab, maka fungsi semak dan imbang Dewan Undangan Negeri akan menjadi semakin lemah,” katanya.
Menyuarakan pandangan sama, Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz secara terbuka menyifatkan pelantikan itu sebagai “pembaziran wang rakyat”, sambil menuduh Onn menggunakan dana berkenaan untuk “pembahagian ghanimah politik”.

"Duit yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan kebajikan Bangsa Johor, sebaliknya digunakan untuk membayar gaji dan pencen barisan exco dan timbalan exco.
"Sudah 10 jawatan Timbalan exco diberikan, tambah pula lagi dengan Adun Lantikan yang akan menyokong Barisan Nasional membuta tuli.
"Ini bukan dasar perkukuhkan pentadbiran negeri. Ini hanya dasar untuk perkukuhkan Barisan Nasional menggunakan duit Bangsa Johor,” dakwanya.
Wong dan Amira, yang juga bekas Adun Puteri Wangsa, turut mengulangi kebimbangan mengenai keputusan membenarkan pelantikan Adun lantikan ke Dewan Undangan Negeri.
Wong berkata penambahan jawatan itu juga melibatkan penggunaan dana awam dan kos pentadbiran, selain jawatan timbalan exco yang baru diwujudkan.
Amira pula mengaitkan pelantikan Adun yang bakal dibuat secara langsung dengan pelantikan timbalan exco, dengan berhujah bahawa selain jawatan berkenaan, lebih ramai Adun lantikan akan dilantik untuk “menyokong BN secara membuta tuli”.
Pada 18 Julai lalu, 10 Adun mengangkat sumpah sebagai anggota exco negeri, dengan enam penyandang dikekalkan dan empat muka baru dilantik.
Seperti pecahan jawatan timbalan exco, barisan exco itu terdiri daripada tujuh Adun Umno termasuk Onn, dua daripada MCA dan seorang daripada MIC.
