Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menamakan seorang diplomat Joshua Harris sebagai Duta AS ke Malaysia yang baharu, menurut kenyataan Rumah Putih.
Senarai pencalonan yang dikemukakan kepada Senat bertarikh 21 Julai itu menyatakan bahawa Harris, yang berasal dari Maryland, merupakan anggota Perkhidmatan Luar Kanan berjawatan “Minister-Counsellor”.
Beliau merupakan antara beberapa pencalonan lain yang diserahkan kepada Senat AS untuk pertimbangan, termasuk Nicholas Checker sebagai Duta AS ke Rwanda dan D. Adam Candeub sebagai Penolong Peguam Negara.
Mengikut proses pelantikan AS, pengesahan Senat diperlukan sebelum Harris boleh memegang jawatan berkenaan secara rasmi.
Harris pernah berkhidmat sebagai Timbalan Penolong Setiausaha Negara di Biro Hal Ehwal Timur Dekat, mengawasi hubungan AS dengan Algeria, Mesir, Libya, Maghribi dan Tunisia dari 18 Julai 2022 hingga 5 Ogos 2025.
Bakal utusan Amerika Syarikat ke Malaysia itu boleh bertutur dalam bahasa Arab, Croatia, Perancis, Itali, Poland dan Slovenia.
Jawatan Duta AS di Kuala Lumpur kekal kosong sejak Februari lepas susulan Edgard D. Kagan yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Duta AS ke-22 ke Malaysia.
Kagan, yang juga seorang diplomat menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Mac 2024 selepas disahkan oleh Senat pada November 2023.
- Bernama
