Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu janji sediakan 50,000 pekerjaan bergaji tinggi di N Sembilan
Diterbitkan:  Jul 25, 2026 8:16 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

PRN N SEMBILAN | Bersatu berikrar mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun, selain penubuhan dana perumahan mampu milik bernilai RM100 juta sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas 1 Ogos ini.

Melancarkan manifesto hari ini, presidennya Muhyiddin Yassin berkata manifesto itu mengandungi 76 tawaran melalui sembilan teras yang merangkumi tadbir urus, ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan, belia, wanita, Felda dan kebajikan rakyat.

Bekas perdana menteri itu berkata manifesto Bersatu Demi Nismilan dirangka dengan mengambil kira keperluan pelbagai lapisan masyarakat, kekuatan negeri serta Adat Perpatih.

“Tawaran ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Bersatu dalam mempertahankan kebajikan rakyat Negeri Sembilan serta membuktikan bahawa kami bersedia mentadbir negeri ini,” katanya.

Jelas Muhyiddin, semua cadangan tersebut boleh dilaksanakan dan bertujuan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa manifesto Bersatu Demi Nismilan ini boleh dilaksanakan.

“Ia merangkumi semua golongan, daripada kanak-kanak, pelajar, belia, usahawan dan wanita hinggalah warga emas.

“Tiada siapa yang akan dipinggirkan. No one is left behind,” katanya ketika berucap di hadapan pemimpin dan penyokong di pusat operasi utama pilihan raya Bersatu di Nilai, hari ini.

Antara tawaran utama dalam sektor ekonomi ialah mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang pertanian berteknologi tinggi, pelancongan, semikonduktor, tenaga hijau, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan (AI), termasuk menerusi Malaysia Vision Valley 2.0.

Kolej yayasan dinaik taraf

Bersatu turut mencadangkan penubuhan Dana Nismilan Niaga Prihatin bernilai RM5 juta bagi menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah serta latihan digital kepada perusahaan kecil.

Bagi peniaga berdaftar di pasar pagi, pasar tani dan pasar malam milik pihak berkuasa tempatan, mereka akan diberikan pengecualian penuh sewa selama dua tahun, manakala peniaga di medan selera dan pasar awam terpilih akan menikmati diskaun sewa sebanyak 50 peratus.

Dalam aspek perumahan, parti itu mencadangkan dana RM100 juta bagi pembinaan rumah mampu milik termasuk skim sewa untuk dimiliki (rent-to-own), selain bantuan sehingga RM5,000 kepada pembeli rumah pertama.

Sebanyak RM15 juta lagi akan diperuntukkan bagi penyelenggaraan rumah di kampung tradisional, perumahan awam kos rendah dan pangsapuri milik kerajaan negeri.

Bagi sektor kesihatan, Bersatu berjanji menyediakan dana penyakit kritikal bernilai RM25 juta untuk pesakit kanser, pesakit jantung, strok dan buah pinggang, selain dana RM10 juta bagi perlindungan takaful dan rawatan asas.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas pula akan menerima bantuan tahunan RM300, selain bantuan kematian sebanyak RM500 turut disediakan.

Dalam bidang pendidikan, Bersatu mencadangkan dana pendidikan tinggi RM25 juta, dana infrastruktur sekolah RM20 juta serta bantuan sehingga RM2,500 kepada pelajar untuk membeli komputer riba atau peranti pembelajaran.

Tawaran lain termasuk bantuan pengangkutan bulanan kepada 2,000 pelajar, geran tahunan RM3,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta menaik taraf Kolej Yayasan Negeri Sembilan menjadi institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa.

Bagi golongan belia, Bersatu mencadangkan dana permulaan perniagaan sehingga RM50,000, penubuhan hab kemahiran digital, bantuan penyelenggaraan motosikal dan insurans untuk penunggang p-hailing, serta latihan kepada 500 pemandu pelancong dan 500 juruterbang dron berlesen.

Pasangan yang baru berkahwin dan memerlukan bantuan pula akan menerima RM500.

Usahawan wanita layak memohon geran sehingga RM15,000, manakala ibu yang baru melahirkan anak akan menerima RM250 dan ibu tunggal yang layak akan menerima bantuan tahunan RM1,000.

Dari segi tadbir urus, Bersatu berjanji menggubal undang-undang menjamin peruntukan tahunan yang sama rata kepada semua Adun, tanpa mengira fahaman politik.

Parti komponen PN yang bertanding berasingan itu juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan manifesto serta mengkaji semula elaun ketua adat.

Bagi komuniti Felda, Bersatu berjanji akan mendesak supaya projek perumahan terbengkalai disiapkan, menyediakan tanah kediaman untuk generasi kedua peneroka, serta menangani isu pewarisan tanah, infrastruktur dan bekalan air bersih.

Muhyiddin berkata Bersatu yakin semua tawaran itu dapat dilaksanakan “dengan cepat, cekap dan telus” sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.

PRN Negeri Sembilan kali ini merupakan penyertaan besar pertama Bersatu sebagai parti yang bertanding secara bersendirian selepas perpecahannya dengan PAS serta hubungan yang semakin renggang dalam PN.

Parti itu mempertaruhkan 24 calon yang bertanding di 24 daripada 36 kerusi DUN, termasuk dua calon daripada Urimai yang bertanding menggunakan tiket Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS