Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pada 1 Ogos ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menutup babak lebih enam dekad di Petaling Jaya dan membuka lembaran baru di Menara Finas, Damansara Damai.

Aku menulis ini bukan sekadar sebagai seorang produser filem atau kini sebagai pengarah filem dokumentari, tetapi sebagai seseorang yang pernah melihat industri ini dari hampir setiap sudut yang mungkin.

Selama 14 tahun sebagai wartawan dan editor, 14 tahun merentasi TV3 dan Astro, setahun mengetuai Unit Komunikasi Finas sendiri, dan setahun lagi sebagai setiausaha akhbar menteri, dari sudut mana pun aku tengok, satu soalan sama selalu timbul: adakah pemindahan bangunan bermakna sesuatu yang lebih besar atau ia hanya alamat baru untuk cara berfikir yang lama?

Menara baru itu – dengan dua sound stage dan sebuah pawagam sendiri – memang sebuah kemudahan yang barangkali tidak pernah dimiliki Finas sebelum ini. Tetapi kemudahan fizikal bukan penanda aras kejayaan sesebuah badan pembangunan filem negara.

Korean Film Council (Kofic) tidak menjadi pemangkin gelombang Korea kerana bangunan baru, tetapi kerana pada 1999 ia disusun semula dengan mandat lebih luas dan autonomi lebih besar daripada kerajaan.

Ia menjadi sesuatu yang membolehkan mereka membuat keputusan dana dan dasar tanpa birokrasi berlapis.

New Zealand Film Commission (NZFC) pula – walaupun beroperasi dengan bajet yang jauh lebih kecil – dibina atas lembaga yang benar-benar terdiri daripada pengamal industri, bukan sekadar pegawai kerajaan.

Jika Menara Finas mahu menjadi lebih daripada sekadar bangunan, soalan yang perlu dijawab bukan "apa yang baru di dalam bangunan itu", tetapi "apa struktur kuasa membuat keputusan yang baru dalam organisasi berkenaan".

Bukan suatu rahsia besar

Kita juga gemar meraikan angka. Lima hingga enam filem tempatan membuat kutipan melepasi RM10 juta, dan Blood Brothers: Bara Naga mengaut RM50 juta dalam masa singkat. Ini pencapaian yang wajar dibanggakan.

Tetapi jika kita kaji dua dekad ke belakang, dari Sembilu dan Sembilu II garapan Yusof Haslam pada pertengahan 1990-an kepada KL Gangster, Abang Long Fadil 2, Polis Evo, sehinggalah Blood Brothers hari ini, kejayaan box office negara secara tekal datang daripada bilangan pemain yang boleh dihitung dengan jari.

Skop Productions, keluarga Yusof dan Astro Shaw atau animasi Les Copaque.

Ini bukan sebuah industri yang berkembang meluas, sebaliknya kejayaan segelintir pihak yang berulang-ulang.

Soalan sebenar untuk Finas bukan "bagaimana nak pastikan filem kutip lebih banyak", tetapi "apakah formula sebenar yang membolehkan sebuah Skop atau Shaw yang baru dapat dilahirkan setiap 10 tahun, bukannya setiap 30 tahun sekali".

Formula itu bukan rahsia besar. Kofic menyediakan dana pembangunan skrip dan makmal penerbit baru secara berterusan, bukan sekali sekala.

NZFC pula mempunyai skim khusus untuk pembikin filem sulung berbajet rendah supaya bakat baru tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk peluang pertama.

Di sinilah peranan Finas yang jarang disiarkan di akhbar sepatutnya lebih dilihat, bukannya sekadar mengumumkan skim wajib tayang (SWT) atau geran.

Ia adalah tentang membina saluran mentor – mentee, akses modal yang berterusan untuk produser generasi baru, dan pengedaran yang tidak bergantung sepenuhnya kepada beberapa rangkaian pawagam sahaja.

Kekal tak bawa makna ekonomi

SWT, yang kini memasuki fasa 3.0, sering digambarkan sebagai satu-satunya mekanisme seumpamanya di dunia untuk melindungi filem tempatan. Ini memang benar dan patut dikekalkan.

Tetapi perlindungan tayangan tidak sama dengan pembangunan ekosistem. SWT menjamin filem ditayang tapi ia tidak menjamin penonton datang dan ia tidak menjamin lahirnya lebih ramai penerbit yang mampu berdiri sendiri tanpa geran.

Di sinilah "mengubah ekosistem industri perfileman" (frasa yang kerap digunakan Finas) perlu diberi makna yang jelas. Bukan sekadar dasar tayangan, tetapi latihan kepenerbitan, celik kewangan produksi dan hubungan yang lebih matang antara produser, penggedar, dan pemilik pawagam.

Satu lagi perkara yang perlu dihadapi secara jujur ialah budaya pengumuman MoU. Hampir setiap sidang media Finas menyebut MoU baru dan jangkaan pelaburan yang bakal masuk.

Sebagai bekas wartawan dan bekas setiausaha akhbar menteri, aku faham betul bahawa mengumumkan MoU adalah langkah PR yang mudah kerana ia memberi berita baik tanpa perlu bukti serta-merta.

Persoalannya ialah siapa yang memantau sama ada pelaburan itu benar-benar direalisasikan? Apakah ada laporan tahunan awam yang membandingkan nilai MoU yang diumumkan dengan nilai pelaburan sebenar yang sampai ke tangan pembikin filem atau negara?

Tanpa mekanisme pemantauan sedemikian, MoU kekal sebagai retorik, bukan makna ekonomi.

Soalan ini membawa kepada isu yang lebih besar iaitu di mana entiti korporat besar negara dalam perbualan ini?

Di Korea, syarikat konglomerat seperti CJ Group turut melabur secara langsung dalam produksi dan pengedaran filem, menjadikan filem sebahagian daripada strategi jenama negara.

Di New Zealand, industri pelancongan dan industri filem saling menyokong sejak era Lord of the Rings.

Filem sebagai teks pembelajaran

Sementara itu di Malaysia, filem masih sering dilihat sebagai hiburan semata-mata, bukan aset ekonomi kreatif yang setanding sukan atau teknologi dalam mendapat sokongan korporat.

Peranan Finas yang lebih besar ialah menjadi orang tengah yang meyakinkan sektor korporat bahawa melabur dalam filem adalah pelaburan dalam jenama negara. Namun, di sebalik semua struktur dan dana ini, ada satu kelompongan yang lebih asas. Tahu tak, apa?

Celik filem!

Inilah sebabnya box office kita didominasi filem bertemakan action, letup sana letup sini atau tumbuk sana tumbuk sini. Mat Kilau dari aspek box office jauh lebih handal berbanding Abang Adik yang mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa.

Ini bukan salah penonton, tetapi cerminan sebuah negara yang belum dibesarkan dengan pendidikan menghayati filem sebagai bahasa dan pemikiran.

Selama ini, pendidikan seni di sekolah awam kita lebih tertumpu kepada muzik. Kanak-kanak sekolah rendah dibesarkan meniup rekorder, tetapi hampir tiada seorang pun dibesarkan menonton dan membedah sebuah filem sebagai teks pembelajaran.

Ini bukan lumrah di semua tempat.

Di Perancis, program École et cinéma bawah Centre National du Cinéma membawa hampir dua juta murid dari tadika hingga sekolah menengah ke pawagam sebenar setiap tahun untuk menonton dan membincangkan filem sebagai sebahagian daripada kurikulum kebangsaan.

Ia merupakan usaha berterusan yang berjalan sejak 1994.

Di United Kingdom, badan amal Into Film yang disokong oleh British Film Institute pula kini menjangkau lebih separuh daripada sekolah di seluruh negara itu, melatih ribuan guru dan menyediakan platform penstriman filem khusus untuk bilik darjah.

Mereka juga menjadikan filem sebahagian daripada literasi media, bukan aktiviti sampingan.

Inilah bentuk "celik filem" yang Finas patut champion juga, dan bukan sekadar kempen kesedaran sekali setahun, tetapi kurikulum berterusan yang menjadikan penghayatan filem setanding kepentingan muzik dan seni visual di sekolah rendah dan menengah.

Permulaan transformasi sebenar

Selagi celik filem tidak menjadi sasaran teras dasar pendidikan negara – bermula dari bilik darjah, bukan hanya industri – maka kita akan terus mengukur kejayaan filem semata-mata melalui tiket yang terjual, bukan melalui kedalaman cerita yang kita mampu hasilkan dan hargai sebagai bangsa.

Kerana pada akhirnya, filem yang dilihat oleh dunia dari sesebuah negara bukan sekadar bukti bahawa kita mampu mengaut berjuta ringgit.

Ia adalah bukti bahawa kita mempunyai karyawan yang berfikir secara kritikal, yang berani bercerita tentang siapa kita sebenarnya.

Itulah ukuran sebenar sebuah bangsa filem, bukan angka box office semata-mata, tetapi kedalaman pemikiran yang berjaya kita hasilkan dan kongsikan kepada dunia.

Maka, Menara Finas di Damansara sepatutnya bukan sekadar simbol perpindahan alamat, tetapi simbol anjakan paradigma yang menyeluruh.

Dari cara dasar dibentuk, cara produser baru dilahirkan, cara korporat dijemput menyumbang, sehinggalah cara rakyat dididik untuk menghargai filem sebagai cermin bangsa.

Sebagai seseorang yang pernah berdiri di dalam dan di luar Finas, aku menulis ini dengan harapan.

Biarlah 1 Ogos ini menjadi permulaan sebuah transformasi sebenar, bukan sekadar upacara memotong reben di bangunan yang lebih baru dan lebih cantik. Wallahualam.


SANIBOEY MOHD ISMAIL ialah tokoh media dan komunikasi yang memulakan kerjayanya sebagai wartawan di Berita Harian pada 1991. Dia juga dikenali sebagai penerbit eksekutif, penulis skrip filem dan drama televisyen serta aktif dalam bidang perhubungan awam sebagai penceramah jemputan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS