Seorang individu menyerupai Nicky Liow Soon Hee, yang sebelum ini didakwa atas dakwaan berkaitan "Geng Nicky", dilihat memakai baju PKR di satu acara baru-baru ini, sekali gus menimbulkan persoalan tentang identiti dan kehadirannya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menghadiri acara tersebut, yang dilaporkan diadakan di Petaling Jaya.
Lelaki menyerupai Liow itu juga bergambar bersama Anwar dalam gambar yang dikongsi di X oleh bekas ketua PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi.
Walau bagaimanapun, gambar itu nampaknya telah dipadamkan daripada laman Facebook Persatuan Kebajikan Yee Aik Banting Selangor. Malaysiakini juga tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada lelaki itu sememangnya Liow.
"Apabila saya melihat gambar Liow di majlis PKR baru baru ini bersama PM Anwar Ibrahim, saya tertanya-tanya apa jadi kepada 26 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) bernilai RM36 juta yang telah dihadapkan kepada dia pada tahun 2022.
"Semakan saya mendapati tarikh Mahkamah yang terakhir di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan-pertuduhan dia adalah pada 15 Jun 2023.
"Sebagai seorang pengamal undang-undang, saya pasti tarikh-tarikh ini sudah semestinya bukan tarikh bicara, sebaliknya hanya tarikh sebutan kes.

"Saya tidak dapat mencari apa apa laporan berita atas talian berkenaan apa yang berlaku di Mahkamah pada tarikh terakhir Mahkamah iaitu 15 Jun 2023 ataupun apa apa laporan berita selepas itu sehingga sekarang.
"Apa yang saya tahu, adik Nicky Liow dan ahli-ahli geng dia telah dibebaskan oleh Mahkamah berikutan pihak Peguam Negara memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap mereka dan menerima representasi mereka pada tahun 2022," kata Asheeq yang juga bekas ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan di X.
Dia juga menyeru Kementerian Dalam Negeri, menteri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengesahkan status semasa 26 pertuduhan yang dikenakan terhadap Liow.
Pada 12 April 2022, Liow, minta dibicarakan atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Pertuduhan tersebut didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Liow berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda antara RM5 juta dan sehingga lima kali ganda jumlah yang terlibat. Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin. Dia juga dikehendaki menyerahkan pasportnya.
Liow telah melarikan diri selama lebih setahun sebelum menyerahkan diri di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sehari sebelumnya.

Juga dikenali sebagai “Datuk Seri Nicky”, pengasas Kumpulan Winner Dynasty itu berada dalam senarai dikehendaki polis atas dakwaan penglibatannya dalam sindiket yang digelar “Geng Nicky”.
Polis percaya sindiket itu terlibat dalam pelbagai jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram. Liow dilaporkan disiasat di bawah Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan atas aktiviti berkaitan jenayah terancang.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung turut menyokong sentimen Asheeq, sambil menambah bahawa apa yang menarik perhatian ialah individu itu memakai baju Pemuda PKR yang tertera logo parti.
"Kita semua sedar bahawa Liow bukanlah orang asing dalam kontroversi. Memandangkan acara itu penting, yang turut menyaksikan kemasukan ahli baru, saya mengucapkan tahniah kepada PKR jika benar parti itu telah menerima Liow sebagai salah seorang ahlinya.
"Walau bagaimanapun, PKR masih belum menjelaskan kepada orang ramai mengapa dia diberi penghormatan sedemikian sehingga dibawa ke ruang menunggu tetamu untuk bergambar dengan pengerusi PH.
"Ironinya ialah Dewan Sivik PJ, yang pernah menjadi pentas untuk gerakan Reformasi dan simbol perjuangan menentang penyalahgunaan kuasa, kini telah menjadi tempat asal gambar sedemikian," tambah Lee.
Bukan ahli PKR
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, mengesahkan bahawa Liow bukan ahli PKR.
"Saya boleh sahkan bahawa nama Liow Soo Hee@ Nicky Liow tiada di dalam senarai keanggotaan dan juga tiada di dalam senarai yang memohon untuk menjadi anggota," katanya.

Ketua Pemuda PKR Kamil Munim memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak dapat mengesahkan identiti individu itu.
"Saya tidak mengenalinya. Saya tidak dapat mengesahkan. Tetapi walaupun dia, kami sudah menyemak sistem keahlian kami bahawa namanya tidak pernah muncul.
"Maksud saya, gambar bersama perdana menteri, oleh sesiapa sahaja, tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mempertahankan atau membebaskan diri daripada sebarang pertuduhan jenayah," kata Kamil ketika dihubungi.
Mengenai program itu sendiri, Kamil berkata ia adalah acara terbuka, dengan lebih daripada 3,000 hadirin.
"Dalam apa jua acara, orang ramai akan cuba mengambil peluang untuk bergambar dengan perdana menteri. Ini bukan kali pertama kejadian sedemikian berlaku.
"Walau bagaimanapun, saya boleh mengesahkan bahawa Liow bukan ahli dan tidak pernah memohon untuk menjadi ahli PKR," kata Kamil.
Malaysiakini juga telah menghubungi Saifuddin untuk mendapatkan komen mengenai status kes mahkamah Liow dan sedang menunggu maklum balasnya.
