Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iran hentikan serangan susulan langkah Trump beri ruang rundingan
Diterbitkan:  Jul 27, 2026 11:15 AM
Dikemaskini: 6:52 AM

Iran dan Amerika Syarikat (AS) menghentikan serangan pada Ahad, memberikan laluan kapal di Teluk dan industri minyak ruang bernafas daripada serangan peluru berpandu selepas utusan PBB Donald Trump menyatakan presiden itu "memberi ruang kepada rundingan."

Iran memberitahu bahawa mereka menghentikan serangan balas terhadap sekutu Washington di Asia Barat, manakala duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mike Waltz memberitahu Fox News Sunday bahawa, walaupun tentera kekal bersiap sedia, Trump akan memberi rundingan "sedikit ruang."

Sebelum Jumaat, tentera AS melancarkan serangan ke atas Iran selama 13 malam berturut-turut, dalam kebangkitan semula terbesar perang berusia hampir lima bulan sejak gencatan senjata April. Namun, dua malam berturut-turut kini berlalu tanpa sebarang pengeboman.

"Serangan ini berterusan sehingga dua malam lalu, tetapi sepanjang dua malam lepas pihak AS menghentikan serangan mereka," kata jurucakap tentera Iran Mohammad Akraminia. "Oleh sebab... strategi kami pada dasarnya adalah serangan balas, kami juga menghentikan operasi serangan balas kami."

Mohammad Akraminia

Pertempuran di Selat Hormuz yang strategik menjejas usaha diplomatik antara Washington dan Tehran, namun konflik itu kemudian meluas melampaui koridor tenaga penting itu hingga merangkumi serangan ke atas pangkalan AS, perkapalan rantau dan sekutu Teluk.

Laporan media Iran yang belum disahkan pada Ahad menyebut sebuah kapal tangki minyak rosak akibat periuk api laut.

AFP melaporkan ketenangan baru-baru ini menghidupkan semula harapan untuk kembali ke meja perundingan, walaupun media AS melaporkan penangguhan itu mungkin juga mencerminkan tekanan terhadap bekalan peluru berpandu pemintas Patriot dan senjata pertahanan lain milik AS.

Waltz menolak pandangan itu dalam wawancara kedua bersama NBC News "Meet the Press."

"Saya mahu jelaskan secara terperinci. Tentera AS – dan saya menyemak perkara ini dari pelbagai sudut – mempunyai semua yang diperlukan untuk menjalankan kempen ini seefektif yang sepatutnya," tegasnya.

Benjamin Netanyahu

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dijadualkan berada di Rumah Putih pada Selasa, dan dijangka menggesa Trump terus mengambil pendirian tegas terhadap Tehran, khususnya mengenai program nuklear negara itu.

Iran sejak sekian lama menegaskan program itu untuk tujuan awam, namun AS dan sekutunya mendakwa ia bertujuan membangunkan senjata.

Turut bercakap kepada Fox News, Netanyahu berkata dia menyokong penuh usaha Trump untuk menghentikan program nuklear Iran.

"Jika dia boleh melakukannya tanpa kembali kepada pertempuran tentera yang sengit, itu bagus. Mengapa tidak? Tetapi sama ada dengan cara ini atau cara lain, mereka perlu menamatkan program nuklear mereka, dan dengan perjanjian atau tanpa perjanjian, ia mesti dihentikan," katanya.

Rancangan untuk meningkatkan kempen AS ditangguhkan sebahagiannya kerana bekalan peluru yang semakin berkurangan, lapor The New York Times dengan memetik dua sumber yang diberikan taklimat mengenai perkara itu.

Donald Trump

Trump juga berdepan risiko perang di Asia Barat yang lebih luas, keregangan hubungan dengan sekutu Teluk yang terdedah, serta kejutan lanjut kepada ekonomi global, menurut akhbar berkenaan.

Trump pada Jumaat berkata dia belum memutuskan sama ada mahu kembali kepada operasi secara menyeluruh.

"Kami sedang bercakap dengan mereka sekarang. Saya fikir mereka semakin serius," katanya kepada wartawan.

Perang yang pernah diramalkan Trump hanya bertahan empat atau lima minggu kini menghampiri bulan kelima, dan menjejas kadar sokongan wakil Parti Republikan itu menjelang pilihan raya separuh penggal AS yang penting pada November.

Pada Ahad, penduduk tempatan di Tehran meneruskan waktu pagi seperti biasa, menempuh kesesakan lalu lintas ketika menuju ke tempat kerja, kata seorang wartawan AFP.

Kedai dan restoran beroperasi seperti biasa ketika bandar raya itu dilanda gelombang panas.

Sementara itu, pertempuran terus merebak.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran pada Ahad berkata mereka menembak jatuh dron Arab Saudi di barat laut Yaman, sehari selepas kumpulan Yaman itu mendakwa menyerang kemudahan minyak di kerajaan Teluk berkenaan.

Kumpulan Houthi menyatakan mereka menyerang tapak Saudi Aramco di Jizan dan Yanbu, selepas Riyadh mengebom sasaran Houthi pada Jumaat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS