Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Undi Umno-PAS di NS umpama tekan gear undur

Setiap undi untuk Umno-PAS dalam PRN Negeri Sembilan Sabtu ini adalah ibarat menekan "gear undur" bagi ekonomi negeri tersebut. Rekod pencapaian PAS di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah yang merupakan antara negeri termundur, serta rekod Umno kurang memberangsangkan di Negeri Sembilan sebelum 2018 adalah bukti jelas mengapa Pakatan Harapan harus dikekalkan di tampuk pemerintahan negeri.

Selepas mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018, saiz ekonomi Negeri Sembilan telah berkembang daripada RM45.7 bilion kepada RM55.8 bilion pada tahun 2025, iaitu KDNK terbesar negeri dalam sejarah.

Pada tahun 2025 juga, Negeri Sembilan mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah iaitu RM19.1 bilion, jauh menjangkaui sasaran awal RM10 billion.

Dalam tempoh 5 tahun yang lepas, iaitu 2021-2025, Negeri Sembilan telah mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM51.1 bilion yang seterusnya dijangka menjana lebih 19,000 pekerjaan, termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi. Bagi kategori pelaburan asing pula, sebanyak RM22.9 bilion telah dibawa masuk oleh Kerajaan Negeri, bersama kerjasama Kerajaan Persekutuan, antara 2021 hingga 2025.

Berbekalkan pemacuan ekonomi tempatan dan pelaburan berlipat ganda, kutipan hasil Negeri Sembilan telah melonjak daripada RM413 juta pada 2017 kepada RM785 juta pada 2025. Angka RM785 juta ini jauh melepasi jangkaan asal sebanyak RM590 juta. Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri juga telah mencatatkan lebihan pendapatan iaitu "surplus" untuk 4 tahun berturut-turut.

Lebih membanggakan, Negeri Sembilan sekali lagi mencipta sejarah apabila rizab tunai negeri buat pertama kalinya melepasi paras RM1 bilion, mencecah RM1.035 bilion.

Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan adalah sangat mustahak di Negeri Sembilan, termasuk untuk memacu projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0). Tumpuan diberikan kepada aspek perindustrian untuk memacu ekonomi dan peluang pekerjaan. Dalam pelan asal, MVV lebih bersaiz kecil tetapi kini saiz MVV 2.0 telah diperluas. MVV 2.0 yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan bersandarkan 6 zon ekonomi yang berperanan memacu industri bernilai tinggi.

KDNK Negeri Sembilan dijangka melonjak hampir dua kali ganda menjelang 2040. Namun, ini bergantung kepada hala tuju pentadbiran negeri yang benar-benar memahami keperluan pelabur, perniagaan dan sosioekonomi rakyat.

Halatuju ini hanya mampu dilakukan Pakatan Harapan berdasarkan prestasi cemerlang pentadbiran selama 2 penggal ini. Penukaran Kerajaan Negeri berisiko mengugat prospek kemajuan ekonomi negeri, terutamanya jika kelompok yang mengutamakan poket sendiri berbanding tadbir urus baik memerintah Negeri Sembilan. Pentadbiran yang cekap penting untuk menjamin kehidupan rakyat yang sejahtera.


FAIZ FADZIL Setiausaha Agung Amanah.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS