Lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan proses permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Menurut sumber, kelima-lima suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Sehingga kini, SPRM telah mengambil keterangan daripada 17 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kesemua pegawai ini disyaki bersubahat menggodam MyIMMs di samping membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur yang sah.
“Susulan tangkapan itu SPRM telah menyita lima unit telefon bimbit milik kelima-lima suspek,” katanya.
Pada 28 Julai lepas, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama Bahagian Perisikan JIM telah menjalankan operasi bersepadu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Operasi tersebut turut dibantu oleh Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.
Dalam operasi tersebut, penggeledahan telah dijalankan melibatkan premis syarikat dan juga JIM Pulau Pinang serta ibu pejabat JIM di Putrajaya.
Pada operasi itu, sebanyak 12 individu telah direman terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM dan seorang pegawai polis.
SPRM turut menyita harta alih seperti wang tunai bernilai RM186,360, wang tunai SGD 700 dan barangan kemas bernilai RM15,700 serta telefon bimbit, komputer riba dan alat elektronik yang dianggarkan bernilai RM36,000.
SPRM juga telah mengambil tindakan membekukan sembilan akaun perbankan, empat milik individu dan dua milik syarikat melibatkan nilai kira-kira RM300,000.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abdul Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan 16 (a) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
- Bernama
