BN akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi sebelum ini pada pilihan raya negeri Melaka yang bakal menjelang, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.
"Ketua Menteri (Ab Rauf Yusoh) selaku pengerusi BN Melaka telah memaklumkan bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kedudukan seluruh 21 kerusi yang dimenangi itu," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.

Gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri Melaka semasa pilihan raya negeri pada 2021.
Bagaimanapun pada plihan raya umum ke-15 pada 2022, BN gagal memenangi sebarang kerusi parlimen.
Daripada enam kerusi itu, PH memenangi 3 kerusi manakala bakinya oleh PN yang menjadi sekutu BN pada pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Justeru, presiden Umno itu berkata BN memutuskan untuk tidak menyerahkan mana-mana kerusi penyandangnya kepada parti lain.
Menurutnya, pendirian itu telah ditetapkan bagi memastikan kerusi yang menjadi milik mereka berdasarkan mandat rakyat seharusnya terus dipertahankan.

“Kita telah menetapkan bahawa kerusi yang kita menang, kita tidak akan pernah berkongsi kerusi itu dengan mana-mana pihak,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama BN dan PN diteruskan pada PRN Melaka, Ahmad Zahid berkata, perbincangan melibatkan semua pihak tetap akan diadakan sebelum sebarang persefahaman politik dimuktamadkan.
Katanya, BN terbuka untuk mengadakan persefahaman dengan mana-mana pihak dan perkara itu akan diputuskan di peringkat BN Pusat.
"Pasti akan ada mesyuarat antara semua pihak dan sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, beliau sangat terbuka.
"Kami kepimpinan BN di peringkat pusat akan dirundingi untuk menjadi kata pemutus kepada sebarang persepakatan atau persefahaman yang akan dicapai dalam musyawarah yang diadakan di antara mereka," katanya lagi.
