Donald Trump pada Khamis menegaskan bahawa Amerika Syarikat(AS) mempunyai bekalan senjata dan peluru yang sangat besar, selain mengancam untuk memenjarakan mana-mana pihak yang mendakwa sebaliknya ketika kekecewaannya terhadap perang Iran semakin memuncak.
Pemimpin parti Republikan itu menyelar laporan media di platform Truth Social berhubung susutan simpanan senjata, dengan menyatakan bahawa AS mempunyai "jumlah amunisi yang sangat banyak terutamanya jenis tertentu", tanpa memberikan butiran lanjut.
"Selain itu, sejumlah besar senjata sedang dihasilkan dan dihantar ke AS mengikut keperluan.
"Syarikat pertahanan sedang membina jumlah kilang terbanyak dalam sejarah negara kita," katanya yang dipetik oleh AFP.
Sementara itu, The Washington Post melaporkan bahawa Trump menuntut penjelasan berhubung kekurangan amunisi daripada ketua Pentagon, Pete Hegseth, pada Jumaat lalu ketika mereka menghadiri mesyuarat kabinet di pusat peranginan Camp David.
Trump memberitahu Hegseth bahawa dia menyangka isu amunisi itu "selesai", lapor Post dengan memetik dua sumber tidak dikenali yang tahu mengenai perbincangan itu.

Trump membidas laporan media berkenaan sambil mengancam pada Khamis bahawa "'pembocor' kenyataan berniat jahat ini sedang diburu" dan "hukuman penjara jangka panjang akan dituntut!"
CNN turut melaporkan bahawa kekurangan peluru berpandu jarak jauh dan pemintas pertahanan udara mempengaruhi strategi Trump dalam konflik dengan Iran, dengan tentera AS "menghabiskan hampir 80 peratus" daripada simpanan pemintas Thaad milik mereka.
Post turut melaporkan bahawa masalah kekurangan itu menyebabkan Trump membatalkan serangan baharu ke atas Iran, walaupun sebelum ini mengancam untuk menghentam republik Islam itu "dengan sangat keras".
Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, melabelkan liputan mengenai perbalahan dengan Hegseth itu sebagai "Berita Palsu!"
"Saya berada di Camp David bersama Trump dan Hegseth. Perkara ini tidak pernah berlaku sama sekali," tulisnya di X.
Ketua jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata laporan berhubung perbalahan Trump dengan Hegseth serta kekurangan senjata adalah "rekaan semata-mata".
Kementerian Luar Iran menafikan sebarang perundingan sedang berlangsung dengan Washington, walaupun Trump mendakwa Tehran berminat untuk mencapai persepakatan.
