Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas MP Thai ditahan lepas tembak presiden PAO Nonthaburi

GLOBAL | Seorang bekas Ahli Parlimen Thailand ditahan selepas disyaki menembak Presiden Pertubuhan Pentadbiran Wilayah (PAO) Nonthaburi dan mencederakan pemandunya di pejabat PAO di wilayah Nonthaburi, barat laut Bangkok pada Isnin.

Gabenor Nonthaburi Chettha Mosikarat berkata insiden berkenaan berlaku kira-kira 11 pagi apabila suspek didakwa melepaskan tembakan ke arah Presiden PAO Kol Polis Thongchai Yenprasert dan pemandunya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

"Saya mengenali kedua-dua pihak, iaitu suspek yang disyaki dan mangsa yang cedera.

“Mereka pernah menjadi rakan sebelum ini dan mempunyai hubungan yang baik.

Bagaimanapun, perbincangan mereka dipercayai tidak mencapai kata sepakat, yang akhirnya membawa kepada kejadian itu. Mengenai butiran lanjut, kita perlu menunggu sehingga pihak polis selesai menjalankan sesi soal siasat bagi mengenal pasti motif sebenar," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Polis Diraja Thailand mengenal pasti suspek sebagai bekas Ahli Parlimen Nonthaburi Chalong Riawraeng, yang telah menyerah diri kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Rattanathibet untuk disoal siasat.

Pesuruhjaya Polis Wilayah 1 Lt Jen Polis Wattana Yichin yan mengetuai siasatan di balai polis berkenaan, menurut pihak polis.

Kejadian itu berlaku hanya dua hari selepas seorang pelajar berusia 14 tahun di Sekolah Debsirin Nonthaburi didakwa menembak mati datuk dan neneknya sebelum melepaskan tembakan di sekolah berkenaan, meragut lapan nyawa termasuk guru dan pelajar. Suspek kemudiannya ditemukan maut di sekolah itu dengan kesan tembakan di kepala.

Seramai 21 yang lain cedera dalam amukan berkenaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan, dengan lapan daripadanya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS