Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan kewujudan unsur “sakau” atau penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan mengaitkannya dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baru-baru ini.
Anwar juga Presiden PKR menegaskan dia sengaja menggunakan istilah “sakau” walaupun ada pihak yang tidak menyukainya.
“Baru-baru ini riuh soal Tabung Haji. Ada orang tidak suka istilah sakau, tapi saya nak ulang di Melaka, memang ada sakau dalam TH.
“(Apakah) RM12 bilion hilang itu bukan sakau? memang ada,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan untuk mendedahkan laporan RCI berhubung TH itu juga bukan keputusan yang dibuatnya sendiri, sebaliknya secara bersama oleh kabinet.
Malah tegas Ahli Parlimen Tambun itu lagi, ketika cadangan itu dibawa, tiada seorang pun anggota kabinet membantah langkah berkenaan.
Selain itu, kata Anwar, terdapat juga anggota jemaah menteri yang mahu siasatan terhadap isu berkenaan tidak terhenti setakat 2020, sebaliknya diteruskan bagi tahun-tahun berikutnya.
Dia juga menegaskan isu kemelut melibatkan TH bukan perkara baru dan sudah lama diperkatakan.
Malah katanya, cadangan penubuhan RCI itu dibuat oleh perdana menteri sebelumnya, manakala ia disiapkan oleh seorang lagi perdana menteri yang lain.
Pun begitu, katanya, dia masih dipersalahkan.
“Salah saya apa? Salah saya (ialah) kenapa tak dedahkan awal.
“Saya nak terangkan, kalau tanya saya, saya akan pilih untuk dedahkan awal, tapi Tabung Haji menyatakan kalau dedah, ada awal risiko kepada Tabung Haji, kerana Tabung Haji kena buktikan dulu kepada rakyat yang (ada) kecelaruan amalan penyakau,” katanya.
Ada RCI lalu bukan dibentang PM
Mengenai cadangan agar siasatan dibuat selepas tempoh seperti mandat yang diberikan kepada RCI itu, Anwar berkata, dia bersetuju.
“Saya jawab, ya, sambung dan kita dedahkan,” katanya.
Anwar pada masa sama menyelar pihak yang enggan berdepan secara terbuka dengan isu berkenaan, termasuk sebahagian ahli parlimen pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika laporan RCI TH dibahaskan.
Kata Anwar mereka sebenarnya “gerun” untuk membahaskan isu tersebut secara terbuka sehingga ada antaranya yang “lari”.
Dia turut mempertahankan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, dan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, yang membentangkan serta mengambil bahagian dalam perbahasan laporan berkenaan di parlimen.
Katanya, pembentangan laporan RCI sebelum ini juga tidak semestinya dilakukan oleh perdana menteri, sebaliknya oleh menteri yang berkaitan.

“RCI sebelum-sebelum ini berkali-kali dibentangkan bukan oleh perdana menteri tetapi oleh menteri yang berkenaan dan saya ucapkan tahniah kepada menteri agama dan menteri kewangan yang membentangkan dan membahaskan,” katanya.
Anwar menegaskan soal siasatan, pendakwaan dan hukuman terhadap mereka yang didakwa melakukan kesalahan bukan berada di bawah bidang kuasa perdana menteri, sebaliknya perlu dikendalikan badan penguatkuasaan dan kehakiman.
Bagaimanapun, katanya, arahan sudah jelas diberi iaitu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau mengkhianati amanah rakyat.

“Percayalah arahan saya jelas, siapa yang bertindak melanggar peraturan, mencuri harta dan amanah rakyat termasuk orang Islam dan yang terpaksa dibayar oleh seluruh rakyat…
“Yang menyakau itu beberapa kalangan tetapi yang terpaksa membayar seluruh rakyat Malaysia – Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan – semua terpaksa bayar kerana kerakusan dan penipuan mereka,” katanya.
Anwar turut menegaskan siasatan perlu dijalankan secara profesional dan tiada pihak yang patut dihukum sebelum kesalahan mereka dibuktikan di mahkamah.
“Ada juga masalah kita… kita terus menuding jari. Jangan.
“Biar badan penguatkuasaan siasat secara profesional, bertindak secara profesional.
“Sebagai orang yang bertanggungjawab, saya boleh nyatakan –jangan berlengah, jangan bertolak ansur, jangan kira parti mana, jawatan mana, kaum mana.
“Salah menyakau, tangkap dan dera (hukum) mereka,” katanya.
