Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lesen judi: MCA takut hilang sokongan PAS, dakwa MP Kampar
Diterbitkan:  Aug 16, 2026 12:06 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

DAP menganggap MCA masih ‘berhelah’ untuk menyatakan pendirian mereka terhadap usaha kerajaan Kedah – pimpinan PAS – melarang operasi kedai syarikat nombor ramalam di negeri tersebut.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berkata memang ada beberapa pemimpin MCA sudah mengulas mengenai isu tersebut. Misalnya Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon, dan setiausaha agungnya, Chong Sin Woon.

Namun, Zhemin berkata, ia masih tidak menjawab soalan asas iaitu sama ada MCA menyokong atau menentang cadangan kerajaan PAS.

Atas sikap MCA itu, katanya, parti berkenaan perlu memberi penjelasan jika ia diambil kerana mereka bimbang akan kehilangan sokongan dan undi daripada PAS serta menjejaskan hubungan kerjasama pada masa depan.

“Ini menunjukkan MCA begitu takut untuk menyatakan pendiriannya kerana tidak mahu menyinggung perasaan PAS dan berisiko kehilangan sokongan pengundi PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zhemin, MCA tidak perlu menjadi sebahagian daripada anggota kabinet untuk menyatakan pendirian tersebut.

Pada masa sama, PAS juga bukan anggota kerajaan pusat.

“Namun PAS telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka mahu pengundi Islam menyokong parti itu dan sekutunya supaya mereka dapat menawan Putrajaya dan menggunakan kuasa untuk menamatkan perjudian di seluruh negara.

“PAS telah menjelaskan pendiriannya. MCA tidak,” katanya lagi.

Pergantungan di kawasan campuran

Kedah pada Jumaat lalu gagal mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membatalkan ketetapan kerajaan negeri menamatkan pengeluaran lesen premis perjudian.

Ia diputuskan secara sebulat suara oleh tiga hakim yang bersidang di Mahkamah Persetuan.

Bagaimanapun keputusan tersebut bukanlah bermakna institusi kehakiman mengubah hukum dengan menghalalkan judi kepada orang Islam, sebaliknya mereka mentafsir arahan kerajaan Kedah dengan akta serta Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, mahkamah mendapati arahan kerajaan Kedah bercanggah dengan perlembagaan.

Ekoran keputusan itu, Dewan Ulama PAS Pusat mengeluarkan kenyataan ‘mewajibkan’ orang Islam mengundi parti berkenaan jika mereka mahu “menoktahkan” kegiatan judi di negara ini.

"Memandangkan keputusan mahkamah yang memutuskan punca kuasa sebenar membasmi judi terletak pada akta di peringkat kerajaan pusat, bebanan dan tanggungjawab ini kini telah beralih sepenuhnya ke atas bahu dan tangan pengundi," kata sayap PAS itu.

Zhemin berkata kenyataan Mah bahawa MCA tidak berada dalam kabinet dan tidak boleh menentukan dasar kerajaan Persekutuan tidak menjawab persoalan yang dikemukakannya.

"Saya tidak pernah meminta MCA menentukan dasar kerajaan Persekutuan sekarang. Saya meminta MCA menyatakan pendirian politiknya sendiri," katanya.

Jika MCA menentang larangan judi di seluruh negara seperti yang dizahirkan PAS, kata Zhemin, mereka cuma perlu berterus terang dan tidak berselindung.

Pun begitu, katanya, MCA tetap enggan berbuat demikian.

“Sebab penolakan ini semakin jelas. Jika BN dan PN bekerjasama dalam PRU akan datang, calon MCA di kawasan campuran akan sangat bergantung pada penyokong PAS dan PN untuk menang.

“Oleh itu, MCA tidak mahu menentang PAS secara terbuka kerana bimbang penyokong PAS mungkin enggan mengundi calon MCA. Inilah sebabnya MCA cuba menukar topik dan bukannya menjawab soalan tersebut.

“MCA tidak boleh meminta penyokong PAS mengundi MCA semasa pilihan raya dan kemudian memberitahu rakyat Malaysia bahawa agenda politik PAS tidak ada kena mengena dengan MCA,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS